Saman pelucutan sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) menyediakan dokumentasi paling meluas mengenai skandal 1MDB hingga kini dengan tuntutan penyalah gunaan dana Malaysia.
Walaupun ramai pemimpin BN memilih untuk berdiam diri, khususnya Umno, melakukan serangan balas dengan menuduh AS melakukan campur tangan asing atau cuba menggulingkan kerajaan Islam.
Bagaimanapun, walaupun sebelum DOJ memfailkan saman sivil pertamanya pada Julai 2016, pihak berkuasa Switzerland menjadi yang pertama kali bersuara mengenai siasatannya terhadap 1MDB.
Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) mengumumkan pada 29 Januari tahun lepas bahawa pihak mensyaki sekitar AS$4 bilion telah disalah gunakan dalam dana Malaysia tersebut.
OAG telah meminta bantuan undang-undang dari Malaysia dan berbuat demikian pada 10 Oktober tahun lepas berhubung dengan tambahan AS$800 juta yang dikaitkan dengan anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, bagaimanapun tidak melayani kedua-dua permintaan berkenaan.
Walaupun menjadi yang pertama mendedahkan kepada umum mengenai 1MDB, pihak berkuasa Switzerland memberikan maklumat secara berhati-hati kepada umum berbanding DOJ.
Perbezaan antara keduanya adalah pihak berkuasa Swiss sedang menyiapkan kes jenayah manakala AS adalah tindakan sivil, walaupun DOJ enggan mengatakan jika tindakan jenayah akan menyusuli.
OAG Switzerland dalam balasan e-mel kepada Malaysiakini berkata kes jenayah itu masih belum selesai dan itulah sebabnya pihaknya tidak dapat memberikan maklumat selanjutnya.