Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin UAE pernah minta AS bom Al Jazeera
Diterbitkan:  Jun 29, 2017 4:01 PM
Dikemaskini: 8:04 AM

GLOBAL | Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohamed Zayed al-Nahyan, didakwa pernah meminta tentera AS mengebom ibu pejabat stesen televisyen Al Jazeera semasa negara itu berperang di Afghanistan.

Memetik pendedahan WikiLeaks, portal Arabi21.com mendakwa permintaan itu disuarakan ketika bapanya, Zayed Sultan al-Nahyan bertemu pemimpin Qatar, Sheikh Hamad Khalifa al-Thani.

Zayed adalah presiden pertama UAE dan pemerintah Abu Dhabi - satu daripada tujuh emiriah yang membentuk kesatuan berkenaan.

Mohamed pula dianggap sebagai pemimpin sebenar UAE walaupun kedudukan rasminya ialah putera mahkita dan timbalan ketua tertinggi angkatan tentera negara berkenaan.

Dia juga didakwa banyak berperanan menetapkan dasar luar UAE.

Dokumen didedahkan WikiLeaks itu juga menunjukkan Mohamed menasihati AS supaya tidak membenarkan wartawan mereka menyertai serangan awal tentera negara terbabit di Afghanistan.

Tujuannya, bagi mengelak kematian orang awam dilaporkan oleh media.

UAE adalah satu daripada banyak negara yang baru-baru ini memutuskan hubungan diplomatik dengan Doha. Selain UAE, antara negara yang terlibat ialah Arab Saudi, Bahrain dan Mesir.

Al Jazeera adalah stesen televisyen berpangkalan di Doha, Qatar dan memang kurang disenang kebanyakan pemerintah negara Arab.

Dokumen didedah WikiLeaks juga menyebut Mohamed bertemu diplomat AS, Richard Haas, dua bilan sebelum Washington mengarahkan tenteranya menggempur Iraq.

Pada pertemuan itu Mohamed didakwa menawarkan maklumat yang boleh dimanfaatkan AS di Iraq, selain mencadangkan kaedah mengawal kemarahan masyarakat Arab kepada Rumah Putih.

Tidak ketinggalan, Mohamed mendesak AS supaya memberi lebih tekanan kepada Qatar mengekang liputan Al Jazeera.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS