Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu 1MDB: PAS tak terkesima ikut pihak ada agenda
Diterbitkan:  Jun 29, 2017 10:10 AM
Dikemaskini: 4:12 AM

Selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak campur tangan asing dalam menyelesaikan dakwaan penyelewengan 1MDB, hari ini ketua penerangan parti itu, Nasrudin Hassan mencadangkan penubuhan sebuah Suruhanjaya Diraja.

Menurutnya, PAS mempunyai polisi dan pendekatan tersendiri dalam merealisasikan strategi dan ‘roadmap’ perjuangannya.

“(PAS) tidak terikat dengan mana-mana pihak, demikian juga tidak terkesima dengan gerak tari pihak yang mempunyai agenda mereka sendiri.

“PAS kini dalam fasa menumpukan perhatian serius terhadap isu-isu yang secara langsung menyentuh kehidupan rakyat terbanyak seperti isu kenaikan harga barang, pengangguran, kos sara hidup, GST dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Semalam, parti pembangkang di bawah gabungan Pakatan Harapan (foto, bawah, kanan) mengumumkan akan mengadakan perhimpunan ‘Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi ‘pada September ini.

Ia sebagai reaksi mereka kepada saman sivil terbaru DOJ isu 1MDB.

Pengerusi penaja jawatankuasa bertindak perhimpunan itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata langkah itu adalah cara mereka mendekati rakyat dengan isu 1MDB.

Mengulas lanjut, Nasrudin yang juga adalah ahli parlimen Temerloh berkata, PAS mengambil penyelesaian yang bersifat fundamental dengan usaha membetulkan urustadbir negara, mengembalikan sistem pemisahan kuasa dan membanteras politik wang.

Beliau berkata PAS tegas menolak kaedah pengurusan kewangan 1MDB yang bercanggah dengan syarak seperti mendapatkan modal dengan cara pinjaman riba dan sebagainya.

“PAS konsisten atas apa jua dakwaan penyelewengan dana 1MDB dan salah laku, justeru ia mestilah disiasat oleh satu badan siasatan yang profesional dan telus.

“Suruhanjaya Diraja mesti ditubuhkan segera untuk merealisasikan sebuah siasatan yang tidak berpihak,” katanya. 

Beliau berkata, PAS bersama Gagasan akan menghantar memorandum kepada SPRM tidak berapa lama lagi bagi menjelaskan penyelesaian fundamental mengenai isu rasuah yang membarah, termasuk berkait 1MDB.

Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat, dua minggu lalu memfailkan saman sivil ketiga berkaitan 1MDB dan kini meletakkan jumlah yang didakwa diselewengkan pada nilai AS$4.5 bilion.

Ia sedang berusaha untuk merampas aset AS$1.7 bilion yang dituduh diperolehi dengan dana yang didakwa dicuri dari 1MDB.

Nasrudin juga mendesak kerajaan supaya menunjukkan ketelusan sekaligus membina keyakinan rakyat terhadap kemampuan agensi negara seperti SPRM, Polis, Bank Negara dan Peguam Negara dalam menyiasat serta mengambil tindakan kepada pihak terlibat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS