Sebahagian masyarakat mungkin memandang rendah dan jijik kepada mereka, tetapi tidak bagi Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohd Al-Bakri.
Dr Zulkifli hari ini mengadakan lawatan ke Persatuan Kebajikan Komuniti Ikhlas Malaysia yang menempatkan pengguna dadah, pekerja seks, transgender dan bekas banduan.
Menceritakan ziarah berkenaan, aktivis masyarakat, Syed Azmi Alhabshi berkata, kehadiran Dr Zulkifli ke persatuan itu menyebabkan kejutan di kalangan penghuninya.
"Bila dia sampai, semua tengah baring-baring. Saya waktu jemput Datuk mufti tak bagitau siapa-siapa pun kecuali staff Ikhlas sebab nak surprise.
"Betul, sesetengah terkejut melihatnya. Ada yang salam cium tangan. Ada yang mata merah tak habis-habis ucap terima kasih sebab datang. Masih ada yang sayang.
"(Bila) Mufti tanya, puasa tak hari ni? "Takkkk" jawab sesetengah mereka dengan kuat. Hadoyy," tulis Syed Azmi di laman Facebooknya.
Menurut Syed Azmi, kedatangan Dr Zulkifli ke pusat yang terletak di Chow Kit itu disusuli dengan sesi tazkirah dan bertanyakan soalan. Malah mereka juga bersolat jemaah bersama dengan berimamkan Dr Zulkifli.
"Kesemua mereka duduk bersila dan rapat rapat. Betul-betul pemandangan luar biasa. Beliau membuka sesi Q & A. Mereka bercakap mengenai orang yang memandang rendah pada mereka.
"Saya benar-benar tersentuh apabila mufti mohon ampun bagi pihak umat Islam lain yang memperlakukan mereka dengan buruk. Datuk mufti memberi duit raya dan mengimamkan solat Zuhur. Mengagumkan," cerita Syed Azmi.
Menerusi Facebook, Syed Azmi berkongsikan gambar-gambar kedatangan Dr Zulkifli ke pusat itu.
"Foto-foto ini bukan nak menunjuk-nunjuk, tapi lebih penting adalah seseorang seperti tuan mufti boleh datang dan bersama orang-orang ni, siapa saya nak menghukum.
"Saya suka bila dia tanya nama setiap orang dan dari mana mereka datang. Seorang wanita sedih sangat bila dapat duit raya. Itu memang saya terasa," luahnya.
Syed Azmi turut menegaskan bahawa penghuni di pusat itu masih beragama Islam dan meminta masyarakat membantu persatuan itu dengan memberikan sokongan kepada mereka.
"Akidah mereka masih utuh dan mereka perlukan sokongan. Sila hubungi 03-40511211 jika anda ingin bertanya apa-apa. Ia bukan tentang saya, ini adalah tentang rakan-rakan muslim saya yang mahukan kasih sayang," kata Syed Azmi.
"Kami sayang mereka kerana Allah'
Sementara itu, Dr Zulkifli menerusi status di Facebooknya mengakui tersentuh hati melihat penghuni Ikhlas ketika melawat mereka.
"Alhamdulillah, petang tadi diizinkanNya menziarahi Pusat Kebajikan Komuniti Ikhlas Malaysia. Sebuah pusat komuniti yang menghimpunkan sebahagian gelandangan, transgender, pekerja seks dan bekas banduan di Chow Kit, KL.
"Hati mana yang tidak tersentuh melihat mereka yang dipandang serong dan hina oleh masyarakat, berpusu-pusu bersalam dengan kami. Nampak jelas riak teruja dan terharu di wajah mereka semasa kehadiran kami ke sana.
"Jauh dalam benak hati mereka, terpancar 1001 sinar harapan untuk mereka dibimbing dan dapat merasai nikmat hidup dalam masyarakat arus perdana," kata Dr Zukkilfi.
Menurutnya, ramai penghuni pusat komuniti itu meluahkan perasaan dan kecewa kerana dipulau oleh masyarakat.
"Kami mewakili umat Islam yang lain dengan sejujurnya memohon maaf atas sikap-sikap yang tidak menyenangkan oleh segelintir umat Islam kepada komuniti ini," ujarnya.
Menurutnya, ziarah ke pusat komuntiti seumpama itu tidak akan dihentikan dan bukan kali yang terakhir.
"Akan ada tindakan susulan untuk membimbing mereka ke arah yang diredaiNya. Sesungguhnya kami menyayangi mereka kerana Allah. Terima kasih Tuan Syed Azmi yang mengaturkan ziarah mengejut ini," jelasnya.