Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cuepacs mohon kenaikan 3 peratus gaji asas penjawat awam
Diterbitkan:  Jun 21, 2017 6:40 AM
Dikemaskini: 10:43 PM

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan agar mempertimbangkan kenaikan gaji asas penjawat awam sebanyak tiga peratus dalam Bajet 2018.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata jika diluluskan, kenaikan itu akan membantu meringankan beban 62,000 penjawat awam dalam kategori B40 yang berdepan kos sara hidup yang tinggi.

"Kenaikan kos sara hidup meningkat sebanyak lapan peratus dan keadaan itu menjadi antara faktor penjawat awam berpendapatan rendah dibelenggu hutang.

"Sebab itu kita mahu cadangan kenaikan gaji ini diberi perhatian sewajarnya demi memberi kelegaan kepada penjawat awam terutamanya mereka yang berada ditahap gaji minima RM1,200 sebulan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan kongres kesatuan itu semalam.

Cuepacs turut menyarankan agar kerajaan mengkaji semula beberapa insentif seperti Elaun Perkhidmatan Awam (COLA), Elaun Kenderaan dan Elaun Wilayah yang tidak dikaji dan diperbaharui kadar bayarannya sejak sekian lama.

"Ketika ini kadar elaun COLA yang diterima penjawat awam adalah berbeza-beza dan kita mahu ia dilihat semula dan diselaraskan pada pengumuman bajet akan datang," kata Azizh.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan kekesalan kerana Cuepacs tidak dijemput bagi menyertai sesi konsultasi bajet yang diadakan bersama-sama perdana menteri baru-baru ini, sekali gus ia tidak dapat menyuarakan pandangan kesatuan itu bagi pihak penjawat awam.

Katanya sebagai satu badan yang mewakili 1.6 juta penjawat awam, Cuepacs berharap dijemput bagi menyampaikan suara pihak yang diwakilinya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS