Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) membatalkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk lebih 60 bahan makanan yang sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Julai ini.
Pengarahnya, Datuk Subromaniam Tholasy, berkata perkara itu merujuk Perintah Cukai GST (Pembekalan Kadar Sifar) (pindaan (No.2) 2017 yang diwartakan pada 6 Jun tahun ini.
Menurutnya, impilikasi pewartaan perintah ini akan menyebabkan lebih daripada 60 item makanan seperti ikan belut, todak, jagung, sayuran sejuk beku dan beberapa jenis buah-buahan import serta marjerin tertakluk kepada cukai tersebut.
"JDTM telah merujuk perkara ini dengan Kementerian Kewangan untuk maklum balas dan telah membuat keputusan supaya (ia) dibatalkan," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Terdahulu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan laporan media mengenai cadangan pelaksanaan GST ke atas lebih 60 bahan makanan mulai bulan depan.
Antara barangan baru yang akan dikenakan GST termasuk belut, ikan todak dan buah-buahan yang diimport seperti avokado, buah ara, anggur, nectarines, ceri dan beri.
Sementara itu, sayur-sayuran seperti kentang, kacang panjang, kacang, bayam dan jagung manis pula dikeluarkan daripada senarai GST berkadar sifar.
Jika rancangan itu dilaksanakan, barangan lain termasuk bihun, kuetiau, mi laksa dan minyak kelapa juga akan dikenakan cukai enam peratus yang telah diperkenalkan kerajaan sejak April 2015 itu.
Subromaniam berkata, JKDM memohon kerjasama semua pihak semua mengambil maklum mengenai pembatalan tersebut.
Senarai lengkap barangan dan perkhidmatan berkadar sifar, sila lawat gst.customs.gov.my atau www.federalgazette.agc.gov.my.