story images
story images
mk-logo
Berita
Nazri perlu lebih diplomasi, kata Anifah
Diterbitkan:  Jun 12, 2017 4:12 PM
Dikemaskini: 12:50 PM

KEMASKINI Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz perlu bersikap lebih diplomasi dalam berurusan dengan rakan sejawatannya dari Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berhubung pelaksanaan cukai pelancongan.

Menteri Hal Ehwal Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, perkara itu juga perlu dibincangkan dengan mengambil kira semangat perpaduan dalam BN.

"Sebarang permasalahan serta isu terutama yang menyentuh sensitiviti rakyat, seharusnya ditangani melalui perbincangan dan mengambil pendekatan lebih diplomatik dalam urusan berkaitan kebajikan rakyat berbilang kaum dan agama," kata Anifah dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata isu itu penting untuk dijelaskan secara baik bagi mengelakkan perkara yang boleh mengguriskan hati dan perasaan rakyat di negeri Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, kenyataan Nazri membandingkan hotel lima bintang di Malaysia Timur dengan Semenanjung juga tidak wajar dibuat.

"Datuk Seri Nazri merupakan seorang kawan dan sebagai seorang kawan saya nasihatkan agar beliau mengambil langkah yang pertama bagi menyelesaikan perkara ini dengan baik," katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata isu berkenaan perlu ditangani secara bijaksana oleh menteri kabinet.

"Cukai pelancongan boleh diberikan justifikasi dan dijelaskan. Tetapi perbalahan antara pemimpin Sabah dan Sarawak dengan kementerian budaya dan pelancongan menjadikan usaha lebih sukar," tulis Abdul Rahman di Twitter.

Semalam, Nazri menyindir Abdul Karim kerana menggunakan Perjanjian Malaysia 1963 sebagai hujah bagi menggesa kerajaan menangguhkan cukai pelancongan di Sarawak yang akan menyebabkan harga bilik hotel meningkat sehingga RM20 semalaman.

Nazri menggelar Abdul Karim sebagai menteri "Setahun jagung" dan cuba berlagak "samseng".

Pemuda BN Sarawak bagaimanapun menganggap kenyataan itu sebagai satu penghinaan.

Menurut Abdul Rahman, Abdul Karim mungkin masih baru dalam kabinet Sarawak, tetapi telah lama menjadi wakil rakyat di negeri itu.

"Beliau sudah tentunya seorang ahli politik Sarawak yang sangat berpengalaman dengan bertahun-tahun sebagai ahli parlimen," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS