Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PERKASA sokong k'jaan beri Zakir Naik warganegara

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali menyokong sekiranya kerajaan memberi taraf warganegara Malaysia kepada pendakwah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik.

Ibrahim berkata, perkara itu wajar dipertimbangkan memandangkan kerajaan sebelum ini telah memberikan kewarganegaraan Malaysia kepada kepada banyak pihak lain.

“Malaysia adalah negara berdaulat yang kita boleh beri hak penduduk tetap dan juga perlindungan.

“Ada sesetengah negara beri suaka politik. Dulu Malaysia pernah beri suaka politik pada pemimpin parti rakyat Brunei, begitu juga Australia yang negara berdaulat ada pertimbangan masing-masing,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PERKASA, Kuala Lumpur.

Malah katanya, Zakir adalah penerima Tokoh Maal Hijrah peringkat Antarabangsa yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 2013.

Rabu lalu, akhbar utama India, Times of India, mendakwa pendakwah kontroversi Zakir Naik telah memohon kerakyatan Malaysia, dengan memetik sumber-sumber agensi.

Menurut laporannya, sumber-sumber mendedahkan bahawa pihak berkuasa Malaysia masih belum membuat keputusan terhadap permohonannya itu.

Pihak berkuasa India sedang menyiasat Zakir berhubung dakwaan keganasan dan pengubahan wang haram.

Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) pada awal bulan ini telah menghubungi Interpol untuk mengeluarkan 'Red Corner Notice' terhadap Zakir, untuk mengisytiharkan beliau sebagai pelarian antarabangsa yang boleh ditangkap oleh mana-mana agensi di seluruh dunia.

Ini berikutan siasatan NIA selama setahun terhadap Yayasan Penyelidikan Islam dan Peace TV yang berkaitan dengan Zakir.

Kerajaan India telah mengharamkan yayasan dan saluran TV tersebut.

Menurut Times of India, NIA mendakwa Zakir telah menggalakkan permusuhan dan kebencian di antara kumpulan-kumpulan agama di negara itu melalui ucapan dan ceramah beliau.

Mengulas lanjut, bekas anggota Parlimen Pasir Mas itu berkata segala dakwaan terhadap Dr Zakir di India itu belum diketahui kebenarannya.

“Dr Zakir Naik ini cerita di India tapi di Malaysia kecoh. (Saya nak tanya) Dr Zakir Naik ni ada ke buat apa-apa kekecohan dan buat apa-apa yang yang tak diingini di Malaysia,” soalnya.

Bulan lalu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Dr Zakir telahpun diberikan status penduduk tetap di Malaysia lima tahun lalu.

Sebelum ini, kerajaan menafikan Zakir sudah diberikan taraf kerakyatan Malaysia, bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada beliau diberikan status penduduk tetap.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS