Sekitar 1,400 'pengundi hantu' dikesan berada di Sekinchan, dakwa ahli dewan undangan negeri kawasan tersebut, Ng Suee Lim.
Contoh yang paling jelas ini, kata beliau, boleh ditemui di perkampungan Melayu Jalan Parit 8 Baroh, Sg Leman.
"Ia merupakan sebuah perkampungan tradisional Melayu. Sejak dahulu lagi, hanya orang Melayu tinggal di sini, tiada isi rumah Cina atau India.
"Tiba-tiba, 419 pengundi India dan 100 pengundi Cina menukar alamat mereka ke Jalan Parit 8. Pagi ini, saya bawa beberapa wartawan untuk periksa dan kami tidak temui mana-mana isi rumah India atau Cina.
"Bagaimana 419 pengundi India dan 100 pengundi Cina dipindahkan ke sini? Ini tidak masuk akal," jelas wakil rakyat DAP itu kepada Malaysiakini ketika dihubungi.
Selain itu, ujar beliau, terdapat juga lapan warga Orang Asli dipindahkan ke Sekinchan, yang disifatkan sebagai 'luar biasa' di kawasan itu.