Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR: Pastikan pendatang haram tak kembali
Diterbitkan:  Jun 5, 2017 2:00 PM
Dikemaskini: 6:03 AM

Seorang pemimpin PKR mahu pihak berkuasa bukan sahaja untuk mengusir pendatang asing tanpa izin dari Malaysia, tetapi juga memastikan bahawa mereka tidak kembali.

Bendahari Agung PKR, Datin Paduka Tan Yee Kew berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali, yang berkata, lebih 23,000 pendatang telah dihantar pulang antara Januari dan Mei tahun ini atas pelbagai kesalahan jenayah.

Indonesia mendahului senarai pendatang yang dihantar pulang, dengan seramai 6,849 orang dan ini dikuti dengan Bangladesh dengan 4,220 orang.

Menurut Tan, walaupun beliau menghargai kerja-kerja pihak berkuasa setakat ini, namun beliau percaya bahawa adalah lebih penting untuk memastikan mereka yang diusir itu tidak sewenang-wenangnya kembali ke Malaysia secara mudah.

“Ini kerana jika perkara ini tidak dihalang pihak pendatang itu akan kembali mengulangi aktiviti jenayah sebelum ini seperti pelacuran dan rumah urut yang dilihat antara kes jenayah tertinggi membabitkan warga asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tan berkata sebahagian besar, pendatang haram melanggar syarat pas lawatan dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan sehingga melakukan perbuatan jenayah seperti meragut, menculik atau membunuh.

“Pendatang haram yang terlibat dengan jenayah ini juga akan menjadi beban kepada pihak berkuasa untuk tangani.

“Hakikatnya, kenaikan kadar jenayah di Malaysia dewasa ini memang ada kaitan dengan kebanjiran warga asing,” katanya.

Memetik perangkaan 2014, Tan berkata 167 atau 49.4 peratus daripada 338 kes bunuh yang berlaku antara Januari dan Ogos tahun itu dilakukan oleh orang asing.

“Selain jenayah bunuh, ada sesetengah warga asing yang bekerja atau belajar di negara ini turut dilaporkan terlibat dalam jenayah samun, rogol dan ragut,” katanya.

Tan percaya bahawa jumlah sebenar pekerja asing berdaftar dan tidak berdaftar di negara ini adalah sekitar 6 juta setakat tahun 2016.

“Dengan trend pertambahan pengambilan pekerja asing ini akan menyebabkan kerajaan tidak dapat mengawal secara menyeluruh masalah ini.

“Kerajaan harus menyemak semula cadangan untuk menambah pengambilan pekerja asing ini agar kebanjiran mereka ini dapat dikurangkan dan memberi jaminan akan keselamatan masyarakat di negara ini,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS