Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jawapan Nazri tak memadai, kata Wan Azizah
Diterbitkan:  Jun 4, 2017 7:56 PM
Dikemaskini: 12:23 PM

Penjelasan Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz mengenai wang berjumlah RM9.5 juta yang disalurkan oleh Datuk Seri Najib Razak ke akaun Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah adalah tidak mencukupi.

Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata pihaknya kesal kerana sehingga kini perdana menteri dan peguam kanan itu tidak menjawab dakwaan berkenaan.

"Setakat ini, rakyat Malaysia hanya mendengar alasan remeh yang diberi menteri Datuk Seri Nazri Aziz.

"Ini amat tidak memadai, kerana persoalan pokok tidak terjawab, iaitu mengapa dana dari SRC International ini berada di dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib dan mengapa RM 9.5 juta dipindahkan ke dalam akaun peribadi Tan Sri Shafee," katanya dalam kenyataan media.

Semalam, Nazri Aziz menyangkal dakwaan bahawa Shafee menerima bayaran sejumlah RM9.5 juta semasa perbicaraan kes liwat kedua membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dakwaan itu dibuat laman pendedah maklumat, Sarawak Report yang mendakwa Najib membayar wang berkenaan menggunakan dana anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd pada 11 September 2013 dan 17 Februari 2014.

Shafee merupakan pendakwa raya dalam kes liwat kedua yang menyaksikan Anwar dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun.

Parlimen pada 2015 diberitahui bahawa Shafee dibayar kira-kira RM1,000 untuk khidmat sebagai pendakwaraya dalam kes itu.

Wan Azizah berkata, tanpa jawapan jelas daripada Najib, dakwaan itu menimbulkan tanda tanya apakah bayaran berkenaan mempunyai kaitan dengan kes liwat kedua terhadap suaminya.

"Dan apakah ada mana-mana individu berkait dengan kes fitnah2 yang menerima wang dari Najib serupa yang diterima Shafee.

"Pada masa yang sama, dakwaan ini menimbulkan persoalan sama ada Najib telah melanggar Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA 2014)," katanya.

Justeru, Wan Azizah berkata pimpinan Pakatan Harapan akan membincangkan isu itu pada mesyuarat majlis presidennya pada 9 Jun depan termasuk meneliti langkah-langkah perundangan yang boleh diambil.

Dokumen yang dipegang Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam sidang media pada Januari tahun lepas menunjukkan sekurang-kurangnya RM32 juta disalurkan ke akaun bank peribadi perdana menteri dari SRC International.

Apandi membersihkan Najib daripada sebarang salah laku atas alasan bahawa perdana menteri tidak sedar menerima wang berkenaan.

Najib menafikan dakawan bahawa beliau mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS