Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Firza pernah impi diperisteri Habib Rizieq
Diterbitkan:  Jun 4, 2017 3:31 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

GLOBAL | Ibu tunggal yang didakwa terlibat dalam sembang seks dengan Rizieq Shihab, Firza Husein, didakwa pernah menyatakan hasratnya untuk diperisterikan pemimpin Front Pembela Islam (FPI) Indonesia itu.

Menjelaskan keadaan itu, seorang wanita yang dekat dengan Rizeq, Fatimah Husein Assegaf, memberitahu Firza memang menyimpan hasrat untuk bersuamikan Rizieq.

Bagaimanapun, Fatimah - yang lebih dipanggil Kak Emma oleh Firza - menasihati sebaliknya.

"Saya kata, jangan. Habib Rizieq sudah ada isteri dan anak. Kita jadi muridnya saja," kata Fatimah seperti dilapor Tempo semalam.

Wanita itu juga mengakui terkejut dengan pengakuan berterus terang Firza.

Namun Fatimah, 47, berkata kenyataan Firza itu bukanlan luar biasa kerana memang lazim bagi seseorang pengikut mengagumi guru mereka.

Katanya, Firza kagum dari sisi keilmuan Rizieq setelah beberapa kali mengikuti pengajian yang diadakannya.

Firza adalah wanita yang sudah disahkan polis Indonesia bersembang hal-hal atas ranjang melalui aplikasi WhatsApp dengan seorang lelaki disyaki Rizieq.

Tak tahu banyak

Dia sudah disoal siasat dan polis mengesahkan gambar bogel yang beredar melalui aplikasi itu adalah asli. Justeru Firza dijangka akan didakwa di mahkamah mengikut Akta Pornografi Indonesia 2008.

Ia mempunyai serba sedikit persamaan dengan kes penyanyi negara itu, Ariel Noah (dulunya dikenali dengan nama Ariel Peterpan) yang terbabit dalam skandal dengan dua artis wanita, Cut Tari dan Luna Maya yang terbongkar pada 2010..

Kes itu menyebabkan Ariel - atau nama sebenarnya Nazril Irham, 35 - dipenjara tiga setengah tahun.

Rizieq menafikan dia terlibat dalam perbualan lucah terlampau dengan Firza itu. Bagaimanapun dia masih belum memberi keterangan kepada polis seperti sepatutnya, malah masih berada di Arab Saudi.

Dia juga menafikan takut untuk ditangkap polis Indonesia.

Ketika isu itu baru meledak, Firza dikatakan pernah mengadu kepada seseorang yang dipanggilnya Kak Emma. Dipercayai Kak Emma dan Fatimah adalah orang yang sama.

Fatimah berkata, Firza seorang wanita yang mudah mesra tetapi tidak banyak yang diketahuinya mengenai ibu tunggal berkenaan.

"Saya tidak tahu hubungan antara Rizieq dengan Firza selain sebagai seorang guru dengan murid," katanya.

Namun Fatimah mendakwa Firza pernah bertemu dengan Rizieq sebanyak tiga kali semasa tokoh yang sebelum ini gigih mendesak kerajaan mendakwa Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok menghina Islam itu mengadakan pengajian.

Dua daripada pertemuan itu, kata Fatimah, berlaku di Megamendung, Bogor.

Fatimah juga meminta supaya namanya tidak dikaitkan dengan skanda berkenaan.

"Jangan tanya saya, saya tak tahu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS