Sepupu kepada Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia dengan kesan lebam dan melecur di badan menyifatkan Allahyarham seorang yang aktif bersukan.
Mohd Nuridhuan Saadon, 30, berkata walaupun jarang bertemu dengan Zulfarhan Osman, namun, dia sering mengikuti perkembangan Allahyarham menerusi laman sosial Facebook dan Instagram.
"Saya sangat terkejut apabila menerima berita kematian Allahyarham malam tadi. Kali terakhir bertemu semasa majlis perkahwinan seorang sepupu tahun lepas.
Saya memang jarang bertemu dengan Allahyarham tetapi sering bertanya khabar dan mengikuti perkembangan Allahyarham menerusi Facebook dan Instagram di mana saya melihat Allahyarham aktif bersukan termasuk karate dan aktiviti berbasikal menerusi gambar yang dipaparkan," katanya.
Mohd Nuridhuan ditemui pemberita di perkarangan rumah keluarga Allahyarham Zulfarhan Osman di Bandar Uda Utama, di Johor Bahru hari ini.
Dia yang tinggal di Kuala Lumpur tiba di rumah berkenaan tengah hari tadi bersama ibu, bapa dan isterinya dan menunggu jenazah Zulfarhan yang dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, di Johor Bahru malam ini.
Menurutnya, Allahyarham Zulfarhan Osman juga merupakan seorang yang pendiam dan seorang yang hormat kepada orang tua.
Zulfarhan Osman, 21, meninggal dunia di Hospital Serdang, 10 malam tadi dengan kesan lebam dan melecur di badan.
Kematiannya disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan berikutan itu, polis menahan reman 36 penuntut UPNM dan Universiti Tenaga Nasional bagi membantu siasatan lanjut.
- Bernama