Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Noh: RM250j siapkan 188 projek perumahan terbengkalai
Diterbitkan:  May 26, 2017 6:19 AM
Dikemaskini: 10:24 PM

Kerajaan menggunakan dananya berjumlah RM250 juta untuk menyelamatkan 188 projek daripada 253 projek perumahan terbengkalai, dan menyiapkannya dalam tempoh 2009 hingga 30 April lepas.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata 188 projek itu melibatkan 50,883 unit rumah dan 34,293 pembeli manakala baki 17 projek yang merangkumi 4,475 unit rumah dan 3,162 pembeli sedang dipulihkan.

Kementerian juga merancang untuk memulihkan 48 projek lagi yang merangkumi 8,932 unit rumah dan 6,082 pembeli bagi memastikan kesemua 253 projek itu dapat disiapkan sepenuhnya.

"Kita memerlukan pemaju yang benar-benar berkeupayaan untuk membantu kerajaan menyelamatkan projek terbengkalai ini kerana cara pembayaran dibuat bukan seperti membuat projek rumah baharu.

"Kerajaan hanya membuat pembayaran selepas projek itu mendapat Sijil Layak Menduduki (CFO) menyebabkan pemaju penyelamat perlu mengeluarkan modal sendiri terlebih dahulu. Kita menerima banyak tawaran daripada pemaju, tapi ada di antaranya menarik diri selepas melihat tapak projek," katanya.

Noh berkata demikian pada sidang media selepas majlis Penyerahan Kunci dan CFO pada Pemulihan Projek Perumahan Swasta Terbengkalai Taman Desa Bongsu, Lanchang di Temerloh semalam. Turu hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Datuk Abdul Rahim Ishak.

Beliau berkata kerajaan komited menyelamatkan semua projek terbengkalai khususnya yang melibatkan perumahan kos rendan dan sederhana rendah bagi memastikan semua rakyat memliki kediaman sendiri.

Dalam perkembangan lain, Noh meberitahu bahawa kementerian menghantar permohonan untuk membina 30 Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk dipertimbang pada Bajet 2018 termasuk projek di Temerloh yang melibatkan 500 unit rumah.

Mengulas projek Taman Desa Bongsu, Noh berkata projek itu sepatutnya siap pada 2003 namun disahkan sebagai terbengkalai pada 27 Oktober 2014 ekoran masalah kewangan pemaju asal Koperasi Melayu Nusantara Sdn Bhd (KOMENA), yang kemudiannya dibatalkan pendaftaran oleh Ketua Pendaftar Koperasi Malaysia pada 30 Julai 2007.

"Kerajaan mengambil inisiatif memulihkan projek ini yang melibatkan 96 unit rumah menggunakan peruntukan dana kerajaan sebanyak RM14.7 juta termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), yang bersamaan RM153,125 seunit, berbanding harga asal rumah iaitu antara RM58,000 hingga RM78,000 seunit.

"Pelantikan pemaju penyelamat, YYM Builders Sdn Bhd, yang dibuat pada 13 Julai 2015 dan kerajaan beri perhatian khusus pada projek ini kerana majoriti pembelinya adalah bekas tentera... sebagai menghargai jasa mereka," katanya.

Sementara itu,mengulas mengenai pertikaian dengan kerajaan negeri Selangor berhubung proses pengambilalihan pengurusan PPR Subang Lembah Subang 1, Noh berkata Kabinet mengarahkan kementerian itu untuk meneruskan proses pengambilalihan tersebut.

Berdasarkan keputusan itu, kementerian dalam proses menyediakan surat perjanjian sewa baharu dan semua urusan dijangka akan diteruskan dalam masa terdekat, katanya.

Ditanya jika kerajaan negeri Selangor tidak bersetuju dengan tindakan itu, Noh berkata: "Kerajaan membuat keputusan itu kerana rumah dan tanah tersebut adalah milik kementerian tapi diserahkan kepada kerajaan negeri (Selangor).

"Kerajaan negeri mengutip sewa bulanan tetapi kita tidak mengutip sewa daripada mereka.... kita lihat mereka gagal menguruskan rumah yang diamanahkan menyebabkan kita akan ambinya semula," kata beliau.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS