Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pakatan dengan Geely bukti komitmen pulihkan Proton'
Diterbitkan:  May 25, 2017 4:10 PM
Dikemaskini: 9:31 AM

Keputusan DRB-HICOM Bhd untuk menjalin pakatan dengan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd jelas membuktikan komitmen kukuh Proton Holdings Bhd bagi menjayakan pelan pemulihannya selain memenuhi syarat pinjaman mudah RM1.5 bilion yang diluluskan kerajaan pada April tahun lepas.

Semalam, DRB-HICOM mencapai persetujuan untuk menjual 49.9 peratus pegangan dalam Proton kepada syarikat automotif China itu termasuk membolehkan Geely memiliki kepentingan 51 peratus dalam pembuat kereta Britain, Lotus daripada Proton.

Mengulas perkembangan itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata berdasarkan rekod pencapaian Geely, kumpulan itu mampu memacu prestasi jualan dan pengeluaran Proton.

"'Pakatan dengan Geely akan menjadi permulaan era baharu untuk Proton. Perjalanannya masih jauh namun saya yakin ini merupakan satu halu tuju yang tepat.

"Tahun lepas Proton memperkenalkan empat model baharu dan kami berharap dapat melihat peningkatan berterusan dalam usaha penambahbaikan model-model kenderaan keluarannya hasil memanfaatkan kemudahan yang akan disediakan oleh pihak Geely," katanya dalam satu kenyataan bagi mengulas jalinan pakatan berkenaan.

Geely yang juga antara firma automotif utama China, mencatat pertumbuhan sebanyak 50 peratus tahun lepas menerusi 766,000 unit kenderaan.

Malah, usaha pengambilalihan Volvo yang dilaksanakan syarikat itu pada 2010 juga terbukti berjaya apabila Volvo mencatat jualan 540,000 kenderaan pada 2016 iaitu peningkatan lebih 200,000 unit pada 2009 -tempoh sebelum pembelian berkenaan.

Pada masa sama, Mustapa juga berharap perjanjian itu akan membolehkan Proton mendapat akses kepada pasaran pembuat kereta sedia ada China, terutamanya di negara besar itu serta pasaran kenderaan berpemanduan sebelah kanan di Asia Tenggara.

Selain itu, ia juga membolehkan Proton menikmati kemudahan teknologi penyelidikan dan pembangunan Geely termasuk pelbagai rangkaian platform berkaitan.

"Lebih penting lagi, ia juga boleh merealisasikan potensi penuh kilang pengeluaran Proton di Tanjung Malim, Perak dan Shah Alam, Selangor dengan kapasiti gabungan sebanyak 380,000 unit.

"Ini kerana Proton hanya beroperasi 40 peratus daripada kapasiti sebenarnya, sejak beberapa tahun lepas," katanya.

Mustapa berkata sejak pelaksanaan Dasar Automotif nasional pada 2006, kementerian itu telah berusaha gigih bersama barisan pengeluar kenderaan, termasuk Proton untuk meningkatkan eksport kereta ke peringkat rantau dan global.

"Prestasi eksport kereta kita suram dengan hanya mencecah 33,438 unit pada tahun lepas. Proton misalnya mengeksport 301 unit tahun lepas berbanding tempoh sebelum ini yang menyaksikannya mengeksport kira-kira 20,000 unit setiap tahun.

"Menerusi pakatan ini, adalah diharapkan dapat merancakkan semula eksport Proton dan membolehkannya mencatat pertumbuhan pada skala besar," katanya.

Selain itu, mengulas pembelian Lotus oleh Geely, Mustapa berkata ia dapat meningkatkan pertumbuhan kereta buatan Britain itu di peringkat global.

"Penjualan itu turut menamatkan antara cabaran getir dihadapi Proton kira-kira sedekad lamanya. Ini disebabkan Lotus yang dibeli oleh Proton pada 1996, sememangnya berdepan masalah kewangan," katanya.

- Bernama


 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS