Majoriti pembaca Malaysiakini mahukan Tun Dr Mahathir Mohamad dinamakan sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan.
Menurut 12,777 responden yang mengundi dalam tinjauan portal ini, seramai 8,926 orang (69.9 peratus) mahukan Mahathir menjadi calon perdana menteri pembangkang manakala 3,276 (25.6 peratus) tidak bersetuju.
Sekumpulan kecil menjawab "tidak pasti" atau "tidak peduli" terhadap tinjauan yang berlangsung selama enam hari bermula 19 Mei lalu.
Kaji selidik itu dijalankan mengikut tiga bahasa, yang mana keputusannya menunjukkan pola pengundian yang berbeza berdasarkan demografi.
Pembaca versi bahasa Inggeris adalah yang paling ramai mahukan Mahathir dan ini dikuti oleh versi Bahasa Melayu dan kemudian versi Cina.
Seramai 76.6 peratus pembaca versi bahasa Inggeris bersetuju Mahathir sebagai calon perdana menteri manakala di kalangan pembaca versi Bahasa Melayu, 68.6 peratus bersetuju dengannya.
Walau bagaimanapun, hanya 51 peratus daripada mereka terlibat dalam kajian menerusi soal selidik dalam bahasa Cina yang menyokong Mahathir untuk jawatan tertinggi, manakala 43.9 peratus tidak bersetuju.