Ekoran kekecohan yang timbul daripada buku tulisan Hannah Yeoh, seorang pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) membuat keputusan mendapatkan naskhah itu dan membaca karya berkenaan.
"Baru mengambilnya di Pos Laju Parit Buntar. Saya akan habiskan membacanya malam ini.
"Harap-harap saya masih seorang Muslim esok, lebih baik," kata Naib Presiden AMANAH, Mujahid Yusof Rawa melalui Twitter Isnin lalu.
Bersama tweet itu Mujahid memuat naik sekeping gambarnya bersama senaskhah buku berjudul Becoming Hannah - A Personal Journey yang menjadi perhatian ramai baru-baru ini.
Buku tulisan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor dan Anggota Dewan Undangan Subang Jaya itu diadukan kepada polis oleh seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia pada 17 Mei lalu.
Kata Dr Kamarul Zaman Yusoff, beliau terkejut apabila mendapati buku berkenaan mengandungi terlalu banyak kisah dan petikan dari Bible.
Pengarah Institut Kajian Analisis Politik Malaysia (MAPAN) UUM itu berpendapat, buku Yeoh merupakan cubaan untuk memujuk, mempengaruhi, atau menghasut orang lain yang bukan beragama Kristian supaya menganut atau cenderung kepada agama berkenaan.
Tindakan itu mendorong beberapa pihak mengecam Kamarul Zaman.
Bagaimanapun, Mujahid berkata, selepas habis membaca buku itu, beliau tetap seorang Muslim yang mentaati arahan agama.
Semua orang ada pengalaman
Bercakap kepada Malaysiakini, anggota parlimen Parit Buntar itu berkata, Becoming Hannah - A Personal Journey itu habis dibacanya malam tadi.
Mujahid berkata, beliau mendapati kandungan buku Yeoh itu mempunyai persamaan dengan apa yang ditulisnya pada 2010, Aren't We All Malaysian.
Katanya, beliau memilih subjek lain untuk menyatakan pandangannya manakala Yeoh memilih tema ketuhanan.
"Sesiapa saja boleh menulis berdasarkan sebarang tema yang mereka pilih. Yeoh membawa tema ketuhanan dan bercakap mengenai bagaimana tuhan membantunya, serta hal-hal lain.
"Semua orang boleh melalui pengalaman sama berdasarkan kepercayaan serta tafsiran mereka mengenai tuhan," katanya.
Anak bekas pemimpin tertinggi PAS itu juga menambah, dalam buku berkenaan Yeoh menyatakan penghargaannya kepada tuhan.
Pada masa sama Mujahid berkata beliau tidak menemui sebarang unsur yang boleh membawa seseorang Muslim mustad seperti didakwa Kamarul Zaman.
"Sebaliknya selepas membaca buku itu saya menjadi Muslim yang lebih baik," katanya.