Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nenek, menantu dituduh aniaya remaja perempuan
Diterbitkan:  May 18, 2017 7:03 PM
Dikemaskini: 11:05 AM

Seorang nenek bersama seorang menantu lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Johor Bahru hari ini atas tuduhan menganiaya seorang remaja perempuan sejak tujuh tahun lepas.

Nor Azaizah Badang, 56, yang merupakan nenek kepada mangsa dan bapa saudara mangsa Maswandi Omar, 35, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Noor Aisyah Ahmad.

Kedua-dua tertuduh yang menjaga mangsa yang kini berusia 20 tahun sejak dia berusia 13 tahun dan didakwa melakukan penganiayaan itu di sebuah rumah di Jalan Padi Huma 9, Bandar Baru Uda di sini, antara 2010 dan Mei tahun ini.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali menawarkan jaminan RM20,000 terhadap setiap tertuduh.

Bagaimanapun, Peguam Nor Shahid Abd Malik yang mewakili Noor Azaizah memohon jumlah jaminan itu dikurangkan memandangkan anak guamnya hanya membantu rakan berniaga nasi lemak dengan pendapatan antara RM500 hingga RM600 sebulan selain perlu menanggung seorang anak yang masih di Tingkatan Empat.

"Anak guam saya juga menghidap penyakit kencing manis," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan Noor Azaizah diikat jamin RM5,000, manakala Maswandi yang tidak diwakili peguam dibenarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula bagi pengurusan kes ditetapkan pada 10 Julai ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS