Pelakon dan pelawak Sulaiman Yassin tidak kesal mengkasari pengarah filem David Teo di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam tadi.
Akhbar berbahasa Melayu Harian Metro memetik pelakon, yang juga dikenali sebagai Mat Over, sebagai berkata ia untuk mengajar Teo 'cara beradab'.
“Saya tak rasa apa yang saya buat itu keterlaluan kerana tindakan berkenaan untuk mengajarnya cara beradab terutama di hadapan pemimpin yang menjadi tuan rumah pada acara ini," Sulaiman dipetik sebagai berkata.
Beliau mendakwa bahawa sikap Teo itu tidak menghormati perdana menteri dan pelakon Datuk Rosyam Nor selaku moderator di sesi dialog Transformasi Negara (TN50) yang diadakan di Seri Perdana.
Insiden itu bermula apabila Teo berjalan ke pentas ketika acara itu sedang berjalan dan mempersoalkan Rosyam yang didakwa tidak memberi peluang yang sama untuk semua orang dalam forum itu untuk menyuarakan pandangan mereka.
Selepas menegur Teo kerana tidak menghormati perdana menteri, Rosyam memberi ruang kepada Teo untuk menyuarakan pandangan beliau, dan Teo mula membaca puisi.
Pada masa ini, Sulaiman menuju ke arah Teo dan menamparnya, tetapi ia terkena lengan kiri Teo. Teo juga kelihatan menendang kembali ke arah Mat Over tetapi turut tersasar. Anggota keselamatan mengawal keadaan dan membawa kedua mereka pergi dari situ.
Video mengenai insiden telah menjadi tular.
Dialog tersebut diteruskan selepas itu, dan Najib, yang dilihat tenang sepanjang insiden berkemaan, meminta Teo dan Sulaiman dibawa masuk dan meminta mereka bersalaman dan berdamai.
Teo kemudiannya melahirkan rasa terkejut dengan serangan tanpa provokasi itu, terutamanya dia tidak kenal Sulaiman secara peribadi.
"Dia tiba-tiba bergegas ke arah saya dan menampar saya," News Straits Times memetik Teo sebagai berkata.
Menurut laporan itu, Teo berkata beliau hanya bertanya tentang Rosyam tidak menggunakan sepenuhnya pentas dan hanya memberi tumpuan kepada penonton di hadapan, sedangkan beliau juga mahu bertanya beberapa soalan kepada perdana menteri.
Bagaimanapun, Teo menganggap kes itu telah selesai dan tidak merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penyerangnya.
Sementara itu, sebuah NGO yang dikenali sebagai Pertubuhan Pembela Nasib Melayu Malaysia merancang untuk membuat laporan polis terhadap Teo berhubung kejadian itu.
Laporan itu dijangka dibuat di balai polis Pudu petang ini.
Kemudian pada pukul 2 petang, beberapa NGO juga dijangka mengadakan "demonstrasi aman" di luar pejabat Teo di Petaling Jaya berhubung perkara yang sama.