ULASAN I Hari ini, rakyat dalam keadaan yang semakin dihimpit kesusahan ekonomi terpaksa menyambut ulang tahun keempat pasca pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang telah berlangsung pada 5 Mei 2013.
Meskipun keputusan membuktikan bahawa gabungan kompenen Pakatan Rakyat masa itu memperoleh undi populariti majoriti sebanyak 51 peratus, namun hakikatnya Barisan Nasional (BN) yang dibantu oleh sistem Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak adil dan telus tetap memerintah dan memperbodohkan rakyat.
Suka saya ingatkan kepada rakyat hari ini untuk menyemak semula manifesto-manifesto yang pernah BN janjikan untuk memperoleh mandat dalam terus mentadbir negara selepas PRU 13.
17 aspek dalam manifesto BN
Di peringkat nasional, terdapat 17 aspek yang ditekankan dalam manifesto berkenaan. Ayuh kita imbas kembali isu-isu rakyat dan sejauh mana BN berusaha merealisasikannya ataupun sekadar bercakap kosong.
Menangani kos sara hidup
Hampir dua tahun selepas pilihan raya, kerajaan Umno BN melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikatakan memperoleh wang 30 juta rakyat Malaysia dengan anggaran RM30 bilion setahun.
Kerajaan beri BR1M sebanyak RM7 bilion hanya kepada 8 juta rakyat Malaysia. Akhirnya rakyat yang terus rugi dengan tanggungan inflasi yang lebih tinggi daripada kadar biasa.
Mana janji harga kereta akan turun? Kebanyakan rakyat Malaysia masih berhutang untuk tempoh sembilan atau tujuh tahun untuk membeli sebuah kereta (berbanding negara maju yang berhutang 3-5 tahun sahaja disebabkan kemampuan membayar ansuran bulanan lebih tinggi).
Meningkatkan kehidupan warga bandar
Realitinya, penduduk bandar yang berpendapatan rendah masih tinggal di rumah flat yang kurang diselenggara.
Tahukah kerajaan BN bahawa masih wujud satu keluarga yang memiliki anak seramai 7 orang yang terpaksa tinggal berhimpit dalam rumah yang sempit?
Paling malang, warga kota terpaksa hadapi kesesakan jalan raya mahupun menaiki pengangkutan awam yang harga tambangnya begitu mahal.
Pembangunan infrastruktur bertaraf dunia dan transformasi luar bandar
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjanji akan kurangkan bayaran tol antara bandar.
Yang rakyat lihat, tambang tol dalam bandar dinaikkan harga demi memberi keuntungan kepada konsesi dan akhir-akhir ini berita yang didengari adalah penukaran mod pembayaran, bukannya pemansuhan mahupun pengurangan bayaran tol.
Membina ekonomi mapan, dinamik dan inovatif
Mungkin yang BN maksudkan adalah bagaimana untuk menjana pendapatan peribadi dengan menggunakan terma-terma korporat seperti 1MDB, penjualan ekuiti, pembelian aset yang mewah dan sebagainya.
Tiada guna Najib mahukan pendapatan per kapita RM45,000 menjelang 2020, jika yang selalu mendapat kekayaan negara adalah golongan kaya termasuklah kumpulan kleptokrat.
Mempromosikan agama Islam, kebebasan dan keharmonian agama
Sejauh manakah institusi-institusi agama Islam di Malaysia bebas menyuarakan pandangan mengenai isu gejala rasuah, tatakelola buruk dan juga perihal ekonomi membabitkan Kerajaan Persekutuan?
Dalam tempoh akhir-akhir ini, kerap sahaja berlakunya semula suara-suara ekstremis yang menggugat keharmonian negara.
Malangnya, kerajaan BN kurang peduli hal ini, bahkan cakna pula mengenai soal wala’ dan juga indeks maqasid syariah yang tidak menyelesaikan masalah besar negara.
Memerangi gejala rasuah
Laporan dari Transperancy International menunjukkan bahawa gejala rasuah semakin membarah, bermula dari peringkat atasan politik hingga ke peringkat masyarakat yang melibatkan badan penguatkuasaan.
Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN dipopularkan dengan isu derma RM2.6 bilion, ditambah dengan slogan “I help you, you help me” dan “Cash Is King” menambah kecurigaan rakyat mengenai semakin dasyatnya gejala rasuah dalam sistem pentadbiran.
Memperkukuhkan perkhidmatan awam
Awal tahun ini sahaja, kerajaan BN sendiri yang memulakan perbicaraan mengenai wujudnya terlalu ramai bilangan penjawat awam mereka.
Dengan bonus tahunan yang semakin berkurang, penjawat awam juga dikejutkan dengan tawaran daripada kerajaan untuk berhutang membeli aksesori telekomunikasi seperti dinyatakan dalam Bajet 2017.
Tak kasihan golongan pekerja
Tidak kasihankah BN kepada 'pekerja' mereka yang semakin terbeban dengan penambahan hutang?
Beginilah secara ringkas, dapat saya simpulkan mengenai kegagalan manifesto BN untuk direalisasikan dalam kehidupan rakyat.
Ini belum lagi janji-janji palsu yang lain seperti penyiapan hospital luar bandar. Hasrat saya adalah, rakyat tidak termakan dengan janji BN yang gagal melaksanakan manifesto pada PRU14.
Meskipun kerajaan Persekutuan mempunyai hasil lebih RM220 bilion setahun, iaitu 76 kali ganda banyaknya berbanding hasil kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh Pakatan Harapan, namun janji manifesto mereka hanyalah ibarat projek gajah putih.
DATUK SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL adalah setiausaha agung PKR. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.