Madrasah Tahfiz al-Jauhar (MTAJ) memberitahu pentadbiran sekolah agama itu tidak pernah bersetuju - sama ada melalui lisan atau niat - menggunakan getah paip untuk mendisiplinkan pelajarnya.
Dalam kenyataan dikeluarkan pusat pengajian itu, Jemaah Pengurusan MTAJ berkata, penggunaan getah paip bukanlah keputusan mesyuarat atau menjadi tatacara operasi standard (SOP) mereka untuk mengambil tindakan disiplin.
"MTAJ mempunyai pendirian untuk tidak mempertahankan perkara salah lebih awal sebelum tuan puan mengikuti perkembangan kes ini," katanya mengulas mengenai kematian Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, pada 26 April lalu.
Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru pada jam 2.05 petang.
Mohamad Thaqif menghembus nafas terakhir beberapa hari selepas kedua-dua kakinya dipotong bagi mengelak jangkitan kuman ekoran kejadian didakwa berlaku di MTAJ.
Seorang pembantu warden MTAJ sedang ditahan reman polis.
Pusat pengajian itu juga sudah menyerahkan rakaman kamera litar tertutup dan enam pucuk surat ditulis Mohamad Thaqif kepada polis untuk membantu siasatan.
Menurut kenyataan MTAJ, kejadian yang berlaku itu sepatutnya tidak menjadi alasan untuk Islam atau pusat pengajian Islam dicemuh.
MTAJ juga menjelaskan, mereka tidak ada sebab untuk memilih Mohamad Thaqif untuk didera kerana dia baru berusia 11 tahun dan mengikuti pengajian di situ selama 57 hari saja.
"Sedangkan MTAJ mempunyai lebih 80 pelajar yang melebihi tempoh pengajian setahun, yang mungkin sedikit antara mereka mempunyai masalah yang lebih besar dari sudut disiplin dan sahsiah," katanya.
Mengenai pembantu warden yang sedang ditahan, MTAJ berkata, mereka bersetuju supaya hukuman dikenakan jika ada kesalahan disabitkan di mahkamah
Sebagai pembantu warden, lelaki terbabit - yang diambil bekerja selepas tempoh parolnya tamat - tidak diberi kuasa untuk mengambil tindakan disiplin ke atas pelajar.
"MTAJ tidak akan mempertahankan kesalahan beliau," kata kenyataan itu.