Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
6 surat, CCTV rungkai kematian Thaqif?
Diterbitkan:  Apr 30, 2017 2:56 PM
Dikemaskini: 7:07 AM

Pentadbiran sebuah madrasah tahfiz di Johor sudah menyerahkan dua bahan bukti yang boleh dianggap penting bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat kematian Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi baru-baru ini.

Dalam kenyataan terbukanya hari ini, pengurusan Madrasah Tahfiz al-Jauhar (MTAJ) menjelaskan mereka menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai hukuman sebatan yang dikenakan ke atas kanak-kanak terbabit.

Satu lagi bahan yang mungkin dapat merungkai kisah sebenar di sebalik kematian menyayat hati itu ialah enam pucuk surat ditulis Mohamad Thaqif.

"Seperti yang ditularkan tentang luahan awah menggambarkan beliau sedang merasa perit semasa proses pembelajaran di MTAJ, ia agak sukar dijelaskan buat masa ini.

"Walau bagaimanapun, terdapat enam keping lagi surat dari arwah yang mungkin boleh menjelaskan watak sebenar arwah yang telahpun diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," kata kenyataan itu.

Ia adalah kenyataan rasmi pertama dibuat pihak madrasah terbabit sejak Mohamad Thaqif disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru pada 26 April lalu.

Enggan dabik dada

Ketika berada di MTAJ, Mohamad Thaqif didakwa disebat sebagai hukuman dan ia membawa kepada masalah pada kedua-dua kakinya.

Kaki kanak-kanak berusia 11 tahun itu kemudian terpaksa dipotong bagi mengelak jangkitan kuman merebak.

Kenyataan MTAJ menyebut, iIstilah "dera" yang digunakan ke atas Mohamad Thaqif mungkin tidak boleh menggambarkan hakikat sebenar kejadian.

"Sebagai contoh, bila seseorang pelajar menggambarkan dia dibuli, kita harus mendalami hakikatnya. Apakah buli yang kita faham? Untuk hal ini, kita beri ruang untuk polis menjalankan siasatan.

"MTAJ tidak mahu mendabik dada mengatakan tiada pelajar yang mungkin mengambil kesempatan terhadap pelajar lain, kerana ia berpotensi untuk berlaku di mana-mana saja pusat pengajian. Namun, dalam konteks MTAJ, ia adalah terkawal. Insya-Allah," katanya.

Mengulas mengenai tuduhan dera yang dikaitkan dengan Mohamad Thaqif, MTAJ berkata, bayangan seseorang itu mungkin tidak tepat mengenai apa yang sebenarnya terjadi.

"Apa yang anda bayang tentang penderaan? Ia berlaku setiap hari, diseksa, disebat dengan getah paip tanpa pertimbangan dengan libasan sekuat hati mengikut kudrat seorang lelaki dewasa kepada seorang kanak-kanak?

"Jika itu yang anda bayangkan, ia meleset sama sekali.

"Alhamdulillah, MTAJ dilengkapi 24 CCTV dan "program sebatan" itu masih tersimpan dan telah pun diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan.

"Semoga PDRM dengan profesional dapat menilai kadar sebatan tersebut sama ada ia boleh ditakrifkan sebagai penderaan (atau tidak)," katanya.

Kenyataan dikeluarkan jemaah pengurusan MTAJ itu juga menjelaskan mengenai isu pembantu warden yang terlibat menghukum Mohamad Thaqif.

Katanya, lelaki terbabit mengakui sendiri sejarah silamnya sebelum dia diterima bekerja di sekolah tahfiz terletak di Kota Tinggi itu.

Berdasarkan kenyataannya, pengurusan MTAJ memahami dia - yang dibebaskan awal dari penjara kerana berkekaluan baik - berlaku jujur dan cuba untuk membaiki kehidupan.

Bukan cari untung

Dia juga kata MTAJ sebelum itu diberikan parol oleh jabatan penjara.

"Rentetan daripada itu, kami berpendapat, andainya pengarah jabatan penjara mengakui beliau sedang berubah dan layak diberi kebebasan awal, apakah kami sebagai ahli masyarakat tidak boleh memberi peluang kedua untuknya?

"Apakah pendirian anda semua tentang memberi peluang kepada seseorang untuk menjadi lebih baik?" katanya.

Di MTAJ, suspek dikatakan bertugas dengan baik walaupun bukan berstatus ustaz.

"Kami berani menyatakan komitmen beliau untuk menjadi manusia lebih baik adalah melebihi para ustaz di MTAJ

"Kekurangan seorang manusia tidak sepatutnya memberhentikan dia daripada terus menjadi manusia," katanya.

Bagaimanapun MTAJ menjelaskan kenyataan dikeluarkan hari ini bukan untuk membela suspek atau mengganggu siasatan polis.

"Tetapi percayalah, ia bukan seperti yang anda gambarkan. Kami mempunyai bukti kejadian dalam rakaman CCTV," katanya.

MTAJ juga menyatakan pusat pengajian itu beroperasi sebagai institusi tidak berteraskan keuntungan namun dilengkapi dengan kemudahan asas seperti asrama, ruang kelas, surau, dewan makan, gelanggang badminton, gelanggang futsal, gimnasium dan lain-lain.

MTAJ mempunyai 17 kakitangan terdiri daripada guru, warden, kakitangan pentadbiran, pegawai multimedia, tukang masak, tukang cuci dan pengurusan am untuk mengurus 109 pelajar dari semua sudut.

Premis itu diberi pengesahan keselamatan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat serta jabatan kesihatan negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS