Setiausaha Agung Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas), S. Barathidasan mencadangkan untuk dikembalikan semula kuasa merotan pelajar sebagai jalan penyelesaian yang terbaik bagi memastikan masalah sosial di kalangan pelajar berkurangan.
"Ia (tindakan merotan pelajar) juga dapat mengawal kes salah laku di kalangan pelajar dan bentuk displin pelajar.
"Seperti semasa di era 70an dan 80an dimana pelajar waktu itu takut melakukan kesalahan kerana mereka malu akan di rotan semasa perhimpunan di sekolah.
"Cadangan ini bukan lah sekadar hukuman semata-mata, tetapi untuk mendidik dan memupuk kesedaran diri anak-anak," katanya dalam kenyataan.
Seperti pepatah peribahasa melayu "melentur buluh biarlah dari rebungnya", kata beliau, Mipas mahu pelajar dan generasi muda khususnya belia India mempunyai semangat waja, gigih dan bersedia menghadapi cabaran.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai penglibatan pelajar dalam kegiatan jenayah termasuk kongsi gelap.
Mengulas lanjut, Barathidasan berkata, pihaknya amat sedih mengenangkan nasib, pembelajaran dan masa depan pelajar yang terlibat dalam gelaja gangsterim.
"Mipas mencadangkan agar setiap sekolah harus membentuk sebuah pasukan petugas khas untuk menangani masalah sosial, displin dan gangsterism di sekolah.
"Para guru, ibu bapa, NGO dan orang ramai harus memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing," tambah beliau.
Jika para pelajar dan generasi muda lemah, tidak bersemangat apatah lagi terjebak dengan masalah sosial seperti gangsterism, samseng sekolah, dadah dan sebagainya maka rosaklah masa depan negara, ujarnya lagi.