Polis dilaporkan menangkap Raja Bomoh atau nama sebenarnya, Ibrahim Mat Zin di Segamat, Johor hari ini.
Harian Metro yang memetik sumber yang tidak dinamakan, melaporkan Ibrahim ditahan pada 2.30 pagi dipercayai di sebuah hotel di bandar itu.
Ibrahim mencetuskan kontroversi apabila dirinya sering melakukan ritual pelik.
Terakhir, pada 13 Mac lalu dia melakukan ritual di hadapan Institut Perubatan Forensik Nasional, Hospital Kuala Lumpur kononnya 'memagar' Malaysia dari diserang negara asing khususnya Korea Utara.
Susulan itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha menasihati orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan sebarang ritual dijalankan oleh Ibrahim kerana ia bercanggah dengan ajaran agama Islam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut dilaporkan berkata, polis menjejaki bomoh terbabit kerana disifatkan merosakkan imej Islam.
Antara ritual peliknya yang lain termasuk mencari pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang dan ‘merestui’ tempat kejadian kemalangan yang membabitkan bekas pemimpin DAP, mendiang Karpal Singh.