Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali digesa menjelaskan mengapa pihaknya gagal mendapatkan sabitan berhubung kes kematian dalam tahanan, N Dharmendran.
Ini kerana Mahkamah Rayuan pada Selasa lalu membebaskan lagi empat anggota polis daripada tuduhan membunuh Dhramendran, kata peguam keluarganya, N Surendran.
"Polis, sebagai badan yang menjalankan siasatan serta pejabat peguam negara yang membuat pendakwaan, mesti bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan berterusan mendapatkan keadilan dalam kes ini.
"Saya menyeru ketua polis negara (KPN) dan peguam negara untuk menjelaskan kegagalan untuk mendapatkan keadilan dalam kes Dharmendran.
"Keluarga dan rakyat Malaysia berhak mendapat jawapan," kata Surendran dalam satu kenyataan hari ini.
Januari lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan penghakiman ingkar yang diperoleh oleh balu Dharmendran terhadap empat anggota polis berkenaan yang didakwa membunuh suaminya ketika dalam tahanan pada 2013.
Pada 26 Februari, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan pembebasan oleh Mahkamah Tinggi dan mengarahkan empat anggota berkenaan membela diri seperti dilapor The Sun.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohtaruddin Baki membenarkan rayuan pendakwaan dan berkata terdapat bukti untuk memsabitkan anggota polis berkenaan, lapor akhbar tersebut pada masa itu.
Bagaimanapun anggota polis tersebut dibebaskan lagi pada Selasa lalu.
Menurut Free Malaysia Today, hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan berkenaan sebulat suara.
"Mahkamah mendapati tiada sebab untuk mengganggu dapatan hakim Mahkamah Tinggi pada keputusan tersebut," kata Hisyam Teh Poh Teik, peguam kepada salah seorang tertuduh, Jaffri Jaafar.