Arahan kerajaan Kelantan yang mengenakan larangan berniaga ketika masuk waktu solat Maghrib adalah jelas dan ia hanya terpakai kepada peniaga Islam, kata exco negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood.
Pengerusi jawatankuasa kerajaan tempatan, perumahan, belia dan sukan Kelantan juga berkata semua pemberita yang menulis perkara itu memahaminya, tetapi Husam pula sebaliknya.
"Ucapan saya jelas, arahan tersebut terpakai peniaga Islam di pasar malam tapi dia (Husam) 'highlight' (ketengahkan) kedai.
"Dia (Husam) nak apa? Wartawan semua faham. Pergi tanya Husam dia nak apa," kata Fattah kepada Malaysiakini.
Husam hari ini berkata Fattah membuat pusingan U berhubung arahan larangan berniaga ketika masuk waktu solat Maghrib apabila berkata larangan itu hanya kepada peniaga Muslim di pasar-pasar malam sahaja.
Fattah berkata Husam kini tidak lagi mempunyai idea dan terpaksa menggunakan isu itu untuk mendapat keuntungan politik.
"Dia tak ada idea. Sekarang ini siapa yang jadikan perkara itu isu? Husam atau siapa? Yang jadikan isu dia, dia yang nak nak cari mileage sekarang ini, dia cuba jadi juara jaga kebajikan bukan Islam.
"Dia nak menjadi juara tetapi masyarakat tidak tertipu dengan ucapan dia," tegas Fattah.
Kelantan sebelum ini dilapor mengarahkan semua peniaga, termasuk bukan Islam menghentikan operasi ketika Maghrib bagi memberi laluan kepada waktu sembahyang yang singkat.
Tarikan pelancong
Dasar tersebut telah dimulakan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu, sebelum diperluaskan kepada semua pihak berkuasa tempatan di negeri itu, tahun lalu.
Bagaimanapun, ia dipertikaikan Husam kerana peniaga bukan Islam tidak perlu menunaikan solat Maghrib.
Beliau mendakwa kerajaan Kelantan sebenarnya tiada agenda untuk memajukan rakyat dan terpaksa mencari perkara kecil untuk “nampak Islamik”.
Sementara itu, Fattah juga mempertahankan tindakan itu yang didakwanya telah menjadi tarikan pelancong di negeri itu.
“Kita dapati bila arahan tutup sementara operasi tersebut mendapat sambutan masyarakat luar yang mahu datang dan tengok sendiri betul atau tidak.
"Ini juga menjadi kelainan kepada pasar malam kita dengan pasar malam di tempat lain dan ia tidak menjadi masalah kepada peniaga bukan Muslim," jelas Fattah.