Paling Popular
Terkini

Kerajaan Negeri Sembilan menetapkan had umur bagi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia adalah di bawah 30 tahun, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata ini selaras dengan Dasar Belia Negara yang bakal dilancarkan akhir tahun depan, menetapkan had umur belia di bawah 30 tahun.

"Bagi pemilihan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Penggal Ketiga, kita dah tetapkan calon mestilah berusia antara 20 dan 30 tahun.

"Kita akan buat pemilihan secara pilihan raya bagi 36 calon DUN manakala 30 lagi ADUN Belia akan dilantik mewakili sektor masing-masing seperti kesihatan, pekerjaan awam dan badan beruniform.

"Saya nak kita bersedia lebih awal supaya kita tidak tunggu sehingga saat akhir untuk mencari bakat dan pemimpin belia di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan DUN Belia Negeri Sembilan kali Ketiga Penggal Kedua 2016, di Seremban malam tadi.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Dr Awaludin Said, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mat Ali Hassan dan Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan Azizan Saad.

Mohamad berkata pilihan raya DUN Belia dijangka diadakan pada Mei atau Jun ini.

Beliau berkata bagi calon yang pernah menduduki kerusi DUN Belia, mereka disaran untuk menubuhkan Alumni DUN Belia.

"Alumni ini akan bertindak sebagai pembimbing kepada ADUN Belia yang akan dilantik kerana mereka di bawah umur 30 tahun ini masih muda dan tidak boleh dibiarkan terumbang-ambing," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS