ULASAN Sejak Januari lalu, Menteri Besar Johor Datuk Mohamed Khaled Nordin mengadakan lawatan ke kawasan parlimen Johor Bahru, Kulai, Kluang, Parit Sulong, Muar, Labis, Tangkak, Pagoh, Sembrong, Gelang Patah, Segamat, Tanjung Piai, Tebrau, Tenggara, Simpang Renggam, Pengerang, Sekijang, Ayer Hitam, Bakri, Pontian dan Sri Gading.
Difahamkan sudah 21 kawasan dan masih berbaki lima kawasan.
Lawatan-lawatan ini pastilah menandakan bahawa pilihan raya semakin hampir. Itu naratif biasa bagi sesebuah kerajaan, ia sebagai persiapan menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Tidak ada yang pelik atau baru.
Dari perkembangan ini, kita merumuskan bahawa beliau bersama gerombolannya hanya datang untuk melaksanakan gimik, bertujuan untuk menggambarkan seolah-olah ia projek khas untuk rakyat atas keprihatinan beliau.
Segala janji dan pelbagai perasmian projek-projek yang dilakukan dalam lawatan itu, hanyalah gimik kerana semua projek-projek ini telah diketahui umum dalam belanjawan yang lalu. Bermakna ia bukan perkara baru. Hanya lawatan menagih simpati rakyat, itu sahaja.
Namun, apa yang saya tulis ini bukanlah isu penting. Sebaliknya yang lebih penting untuk kita sebagai rakyat fahami adalah fungsi dan dasar sesebuah kerajaan yang cekap dan berintegriti.
Perkara pertama, fungsi sesebuah kerajaan adalah berstruktur, bukan cacamarba dengan gimik perasmian itu dan ini. Kita ada kerajaan negeri dan kerajaan tempatan.
Kuasa kerajaan negeri dikongsi dan diturunkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sama ada majlis daerah, perbandaran atau bandar raya.
Harus jelas, jitu
Fungsi kerajaan negeri yang turun padang ke setiap kawasan parlimen yang memiliki PBT atau berkongsi PBT harus jelas dan jitu. Bukan gimik.
Dalam semua lawatan MB Johor ke kawasan-kawasan ini, kita tidak mendengar apa-apa pengumuman untuk melakukan perubahan atau reformasi terhadap PBT ini.
PBT adalah agensi kerajaan yang paling hampir dengan rakyat di setiap lokaliti. Kemajuan dan kecekapan PBT akan memberi impak secara langsung dengan keperluan rakyat di setiap parlimen dan DUN. PBT bukan boleh menjadi cekap hanya dengan lawatan MB!
Maka, lawatan MB tanpa membuat pembaharuan ke atas PBT adalah tersasar dari fungsi kerajaan. Tidak ada perubahan atau pembaharuan bermakna kerja melawat ini sia-sia. Lawatlah sebanyak mana pun parlimen atau DUN, ia sia-sia kerana ia bukan tugas utama sesebuah kerajaan.
Sebagai contoh. Adakah MB sedar bahawa bas percuma (diciplak dari Selangor dan Pulau Pinang) yang diberi tanggungjawab sepenuhnya kepada PBT, tidak memberi impak maksimum?
Sudahkah MB melawat laluan-laluan bas percuma ini? Tahukah beliau bahawa laluan-laluan yang ditentukan oleh PBT tidak mencakupi laluan penting?
Sebaliknya, apa yang dilihat penting dalam lawatan beliau hanyalah program merasmi pecah tanah itu dan ini, edar pemberian atau sumbangan itu dan ini kepada rakyat.
Bayangkan betapa sia-sia dan pembaziran waktu untuk lawatan-lawatan ini.
Mendengar sambil melopong
Rakyat tentulah suka dapat bertemu pemimpin. Itu perkara alamiah. Tetapi ingin saya ulangi, adakah ini fungsi sebenar kerajaan untuk menyelesaikan masalah rakyat?
Jika mengatakan bahawa ini salah satu cara untuk pemimpin mendengar keluhan rakyat? Saya ingin bertanya, berapa banyak sesi dialog yang dijalankan secara terbuka di setiap kawasan yang MB lawati itu? Tidak ada juga. Yang ada cuma ucapan politik dari MB kepada rakyat, rakyat pula mendengar sambil melopong.
Kedua, soal integriti.
Dalam semua acara mahupun lawatan beliau hingga hari ini, tidak ada satu pun rakyat mendengar adanya perubahan polisi dan mekanisme untuk memulihkan integriti kerajaan negeri dan menarik kembali keyakinan rakyat selepas terpalit dengan skandal penyelewengan hartanah di Johor.
Beliau hanya menukar portfolio dan exco, bukan melakukan reformasi sistem, baik di peringkat UPEN atau agensi negeri yang lain termasuk PBT.
Isu tentang bagaimana tender-tender di peringkat PBT dibuat? Bagaimana ahli majlis dapat lebih cekap dalam melaksanakan amanahnya? Rakyat mahu mendengar dan berbincang tentang perkara-perkara ini dalam lawatan menteri besar, tetapi tidak ada.
Saya ingin beritahu kepada rakyat bahawa, gimik-gimik menteri besar Johor ini tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah, sebaliknya beliau hanya meneruskan legasi kepincangan sistem yang wujud di peringkat kerajaan negeri dan PBT.
Sistem yang masih tiris ini diabaikan dengan gimik meriah lawatan ke parlimen-parlimen di Johor. Selain daripada gimik lawatan, semua perasmian dan pemberian kepada rakyat, hanyalah ibarat dedak pilihan raya. Ia juga bertujuan untuk menagih simpati dari rakyat. Tidak lebih dari itu.
Hakikatnya, kerajaan Johor masih mewarisi pimpinan kleptokrasi Najib Razak.
MAHDZIR IBRAHIM pengarah biro pendidikan politik DAP.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.