Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

(I)

Sambil minum petang di Sarang Art Hub milik Mamat Khalid, kami berbual tentang filem Pasir Salak dan sejarah Pasir Salak. Orang akademik kata, itu sessi ‘discourse’ tapi bagi orang kampung itu adalah sembang-sembang kosong.

Pengarah filem 'Rock Bro' itu menjemput untuk datang pelancaran filem terbarunya 'Lebuh Raya Ke Neraka' di situ pada hujung minggu itu. Namun hujung mingguku telah tersedia isi dengan komitmen lain.

Sejarah boleh difilemkan tetapi kebenaran sejarah sebaliknya terlalu sukar diperlakukan begitu. Kami sembang tentang filem saja. Perbualan petang itu bersama potret Pak Hamka, MGR, Amithbah Bachan, Jose Rizal atau Louis Amstrong. Kata Mamat, lukisan potret itu dipilih kerana sumbangan mereka dalam seni dan budaya.

Bagaimana sebuah filem boleh mengangkat kesedaran berbangsa? Bagaimana sebuah sejarah digarap dalam sebuah filem? Ini semua bukan sekadar persoalan seni dan budaya semata-mata. Ini adalah soal kehidupan. Jika bercerita tentang kematian sekalipun, hakikatnya adalah suatu daripada episod kehidupan yang menghidupkan.

(II)

Pada 20 Mei 1876, bertempat di Bandar Baru yang merupakan pangkalan Residen British, Seputum telah menjalani hukum gantung sampai mati dengan disaksikan Sultan Abdullah serta pembesar baginda.

Jenazahnya disemadikan di Pasir Salak, iaitu kampung halamannya. Seputum melaksanakan titah Sultan Abdullah dan Datuk Maharajalela untuk membunuh J W W Birch. Datuk Maharajalela berjanji memberikan hadiah sebanyak RM1,000 untuk tugasan itu.

Surat mengenai hal itu didedahkan dalam laporan Hugh Low kepada Setiausaha Pejabat Tanah Jajahah British.

Sudah 141 tahun berlalu. Tarikh penghukuman Siputum sepatutnya adalah tarikh kebangkitan, kemerdekaan dan tanda harga kewujudan bangsa. Meski sisi sejarahnya masih belum lengkap dan sempurna, hakikatnya itulah tarikh yang bersejarah.

Birch dibunuh sewaktu mandi di tepi Sungai Perak. Dua pegawalnya yang bersenjata api melarikan diri dengan terjun ke dalam Sungai Perak. Ketika itu, Che Ali, Ngah Jabor, Panjang But, Datuk Sagor dan Datuk Maharajalela sama menyerang ke tempat mandi Birch.

Pandat Indut merejam lembing ke arah Birch, Datuk Maharajalela membaling lembing ke arah Birch juga. Datuk Sagor turut merejamkan lembing ke arah Birch.

Apabila Birch timbul semula di belakang rumah mandi, beliau ditikam Si Tuah dengan lembing dan akhirnya Siputum menetak dua kali. Birch tenggelam terus di dalam Sungai Perak.

Seputum melarikan diri selepas membunuh Birch tetapi ditangkap oleh British dengan bantuan Uda Pulau dan Mah Amin. Turut ditangkap ialah Ngah Ahmad dan Che' Gondah.

Kekal hukuman mati

Ketiga-tiga mereka dibicarakan di hadapan Melayu yang dihakimi oleh Raja Idris, hakim yang dilantik Sultan Abdullah. J D Davidson dan Frank Swettenham sebagai pengapit hakim. Saksinya Abdul Hamid, jurukemudi perahu Birch; Kok Ah Yong si tukang emas Pasir Salak, Hoo Ah Choey, tukang masaknya; dan Mat Tahir, pendayung perahu.

Raja Idris menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada ketiga-tiga tertuduh - dengan syarat ia mendapat pekenan daripada Sultan Abdullah sebagai Sultan Perak.

Namun Majlis Kerja yang dipengerusikan Gabenor William Jervois mendapati penglibatan Che Gondah dan Ngah Ahmad kurang pembuktian dan beliau menasihati Sultan Abdullah mengubah hukuman. Che Gondah dan Ngah Ahmad dihukum penjara seumur hidup dan mengekalkan hukuman mati ke atas Seputum.

British menawarkan hadiah lumayan kepada sesiapa yang dapat menangkap Datuk Maharajalela iaitu habuan bernilai RM6,000, Datuk Sagor (RM3,000) dan Pandat Endut (RM3,000). Bagi British ketiga-tiga mereka itu ialah ‘penjahat'.

Tawaran tersebut disambut baik oleh orang Melayu seperti Che' Karim Selama, Sayid Mashor, Raja Mahdi Selangor, Raja Yusuf, Raja Idris dan yang paling mengejutkan apabila Sultan Abdullah turut menyokong usaha penangkapan itu. Walhal ketiga-tiga itu adalah orang kanan Sultan Abdullah sendiri.

British meminta rakyat negeri Perak bersatu membantu mereka memburu 'orang jahat' dan mengembalikan keamanan negeri. Bagi rakyat Perak, mereka keliru kerana Sultan Abdullah dan sebahagian pembesar Perak menyebelahi British dan tidak menyokong penentangan yang dilakukan oleh Datuk Maharajalela dan rakan-rakannya.

Bagaimana rasa hati Seputum, Datuk Maharajalela, Datuk Sagor dan lain-lain apabila mereka mengetahui Sultan Abdullah bagaikan berpaling? Lupakah baginda akan sumpah janji sewaktu berakad setia berjuang sehidup semati?

Mesyuarat para pembesar Perak di rumah Laksamana di Durian Sebatang yang turut dihadiri Sultan Abdullah, Sultan Ismail, Datuk Maharajalela, Datuk Sagor, Datuk Shahbandar, Raja Mahkota, Orang Kaya Mat Arshad, Raja Idris dan Kulub Mat Ros bersetia janji untuk bangkit melawan penjajah.

Masing-masing melepaskan diri sendiri bagai enau dalam belukar. Rakyat bawahan juga yang menjadi mangsa.

Gagal bermakna derhaka

(Mamat Khalid sebagai pembikin filem akan berada di mana sewaktu filemnya itu berputar di hadapan mata penonton? Kebenaran atau imaginasi sendiri yang diberikan? Realis atau idealis? Apakah filem itu menayangkan babak panglima Melayu membunuh seorang pegawai Inggeris yang sedang mandi tanpa bersenjata? Itu bukannya watak panglima Melayu sejati.)

Watak panglima Melayu adalah bertarung seorang dengan seorang. Birch harus diberi peluang bertarung secara berdepan. Mungkin dokumen sejarah yang menjadi rujukan masih belum memadai.

Sewaktu di mahkamah, Seputum memberitahu, sama ada dia dapat membunuh Birch atau tidak, hakikatnya adalah sama. Seputum hanya melaksanakan titah Sultan Abdullah dan tugas yang diberikan kepadanya oleh Datuk Maharajela.

Kegagalan membunuh Birch akan menyebabkan dia dianggap menderhaka, maka rumahnya akan dibakar dan hartanya dirampas Datuk Maharajela. Seputum hanya seorang yang bekerja dengan Datuk Maharajela.

Seputum lelaki kurang upaya, menghidap penyakit kulit yang aneh dan sebelah kakinya untut. Seputum adalah lambang rakyat biasa yang tertindas dalam sistem sosial Melayu.

Mungkin mengikut perkiraan Seputum, dari mati di tangan bangsa sendiri lebih baik mati di tangan penjajah. Seputum berjuang demi kewujudan dirinya sebagai rakyat dan manusia yang merdeka.

Atau, mungkinkah demi ganjaran yang dijanjikan?

Bagaimana sebuah filem memaparkan sejarah sebenar yang penuh unsur penentangan dengan prinsip dan nilai sekarang? Kematian Seputum sarat sejarah pengkhianatan dan kezaliman para pembesar Perak.

Itu mungkin kita baca dari konteks hari ini dengan sumber yang sedia ada. Pengarah filem - seperti penulis juga - akan sentiasa bersikap memilih dalam memfokuskan sesuatu kejadian.

(III)

Setelah semua 'orang jahat' ditangkap, dipenjara dan dihukum gantung sampai mati semasa pemerintahan Sultan Abdullah sebagai Sultan Perak ke-26, British menubuhkan Suruhanjaya Penyiasat bagi menyelidik 'Perang Perak'.

Hasil siasatan itu, Sultan Abdullah, Datuk Laksamana, Datuk Shahbandar dan Ngah Ibrahim dituduh dan disabitkan bersalah kerana bersubahat dalam pembunuhan Birch. Mereka semua dibuang ke Pulau Seychelles dan dilucutkan jawatan sebagai Sultan Perak dan pembesar negeri.

Setelah hampir dimusnahkan semua orang yang mengelilingi Sultan Abdullah, maka mudahlah serigala membaham kambing yang bersendirian.

Pengkisahan semula ini semacam kisah seminggu dua ini. Bertikam-tikam si anak Melayu (Rafizi, Nasrudin dan Nasharudin, at-Takiri, CheguBard, Husam dan lain-lain) dengan menegakkan jari telunjuk masing-masing menilik siapa yang lebih lurus dan tulus. Hingga dipatah-patahkan jari kaki kerana tidak dapat jari tangan.

Siapa gerangan yang hendak dibunuh itu? Dr Mahathir Mohamad yang sudah tua itukah? Atau Anwar Ibrahim yang terkurung dalam penjara? Atau Hadi Awang yang semakin akrab dengan Najib?

Bagi rakyat biasa - seperti kita semua - kematian Seputum di tali gantung Inggeris pada 141 tahun lalu adalah sejarah kematian kesetiakawanan. Kematian Seputum adalah juga lambang perjuangan rakyat bawahan mempertahankan kewujudan dirinya sebagai rakyat Melayu.

Al-Fatihah.


DR MUHAIMIN SULAM aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei. Ketika ini berkhidmat di Universiti Teknologi Petronas.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya membayangkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS