Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nasrudin sah masuk gelanggang
Diterbitkan:  Apr 18, 2017 12:06 PM
Dikemaskini: 4:37 AM

Tidak seperti suasana yang biasa pada tiga sayap PAS, muktamar ke-63 PAS di Alor Setar akhir bulan ini menjadi menarik apabila berlaku pertandingan bagi jawatan naib presiden.

Selain tiga penyandang, Anggota Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan, mengesahkan beliau menyahut pencalonan untuk bertanding jawatan naib presiden parti itu.

"Saya dengan segala rendah diri menerima pencalonan naib presiden PAS bagi sesi 2017-2019 itu atas sifat dan semangat fastabiqul khairat (berlumba-lumba melakukan kebaikan)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Naib presiden PAS kini disandang Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad.

Terdahulu, seorang lagi calon iaitu Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menarik diri daripada pencalonan jawatan tersebut.

Penerimaan Nasrudin itu menjadikan kerusi naib presiden adalah pertandingan tertinggi berlaku pada muktamar PAS kali ini.

Dua jawatan lebih tinggi - presiden dan timbalan presiden - menunjukkan keadaan status quo apabila Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak dicabar sesiapa.

Bukan yang terbaik

Nasrudin yang sebelum ini dilantik pimpinan PAS sebagai ketua penerangan berkata, beliau berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan anggota parti untuk bertanding.

Ketika ini katanya PAS berada dalam keadaan semakin bertenaga dan padu untuk mara ke medan juang mendepani cabaran semasa.

"Safnya terbina dari kepimpinan yang mantap dan anggota yang patuh. Mengakari prinsip dan polisi perjuangan yang utuh dan road map parti yang jelas serta menuju matlamat yang satu iaitu mardatillah (keredaan Allah).

"Justeru, saya sedar dan insaf bahawa pencalonan saya ke posisi naib presiden adalah berasaskan semangat berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan.

"Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan dan saya percaya, saya bukanlah orang yang terbaik," katanya.

Pernah menjadi ketua pemuda, Nasrudin menegaskan, penyertaannya dalam pemilihan kali ini tidak menghilangkan hormat atau melunturkan rasa kasihnya kepada semua pimpinan PAS yang lain.

"Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat dan berkat-Nya ke atas perjuangan Islam yang didukung oleh PAS ini dengan terus menyatukan ukhwah dan memugar semangat para pejuangnya untuk memimpin gerakan perubahan serta kebangkitan rakyat," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS