Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, hari ini mengajak semua pihak memaafkan akhbar Nanyang Siang Pau yang menyiarkan kartun Akta Monyet baru-baru ini.
Katanya, PAS menerima sepucuk surat permohonan maaf daripada ketua pengarang akhbar berkenaan bertarikh 12 April lalu.
Permohonan maaf, kata Abdul Hadi, juga dibuat akhbar itu secara terbuka pada edisi cetaknya.
"Sehubungan itu, saya dengan ini mengajak umat Islam yang terguris dengan penerbitan karikatur berkenaan agar dapat bersama saya memaafkan pihak akhbar berkenaan, dengan harapan agar ianya tidak berulang lagi di masa depan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akhbar Nanyang Siang Pau baru-baru ini diberi surat tunjuk sebab oleh Kementerian Dalam Negeri kerana menyiarkan karikatur dianggap menghina Abdul Hadi dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Karikatur itu memaparkan pandangan akhbar berkenaan mengenai pembentangan rang undang-undang persendirian Abdul Hadi bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
Sidang Dewan Rakyat ditangguhkan Pandikar sejurus selepas Anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, selepas memberikan ucapan menyokong usul Abdul Hadi.
KDN juga menerima permohonan maaf daripada Nanyang Siang Pau, namun mengingatkan akhbar terbabit supaya tidak mengulangi perbuatan berkenaan.
Abdul Hadi berkata kesilapan penerbitan itu berlaku adalah akibat daripada keterlanjuran dan kejahilan mereka memahami batasan sensitiviti agama yang sangat halus garisnya.
"Semoga dengan tindakan memaafkan ini, kita sama-sama dapat terus komited menyuburkan keharmonian dan sifat saling faham memahami dalam masyarakat di Malaysia khususnya," kata beliau.