Paling Popular
Terkini

Othman Wok, bekas anggota Kabinet dan seorang daripada pendukung awal dasar pelbagai kaum di Singapura, meninggal dunia hari ini pada usia 92 tahun, demikian diumumkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura.

PAP, dalam catatan di akaun Facebooknya berkata Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyanjungi Othman sebagai "seorang dari pasukan pemimpin pengasas pelbagai kaum yang membina Singapura".

Ia menyatakan Othman adalah sebahagian daripada anggota utama Kabinet pertama Singapura yang dibentuk oleh mendiang Lee Kuan Yew.

Beliau berkhidmat sebagai Menteri Kebudayaan dan Hal Ehwal Sosial antara 1963 dan 1977.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) Singapura berkata Perdana Menteri dan anggota Kabinetnya sedih mendapat berita tentang pemergiaan Othman dan menyampaikan ucapan setinggi takziah kepada keluarganya.

Dalam kenyataan yang dicatatkan di laman webnya, PMO berkata Othman meninggal di Singapore General Hospital pada 12.21 tengah hari ini.

"Othman adalah seorang daripada yang menandatangani Perjanjian Perpisahan dan bapa pengasas Singapura. Beliau adalah anggota utama Kabinet Encik Lee Kuan Yew, ketika tempoh kritikal semasa Singapura berada dalam Malaysia, dan kemudian berpisah dari Malaysia untuk menjadi sebuah republik merdeka.

"Beliau menyokong Encik Lee dalam memperjuangkan dasar pelbagai kaum dan agama di Singapura, dan menjadi seorang daripada rakan paling rapat Encik Lee," kata kenyataan itu.

PMO berkata Kerajaan Singapura akan memberi penghormatan kepada Allahyarham dengan membawa jenazahnya di atas Pedati Meriam untuk perjalanan terakhirnya dari Masjid Sultan ke Pusara Abadi di Tanah Perkuburan Islam Choa Chu Kang esok.

Kerajaan mengarahkan bendera negeri dinaikkan separuh tiang di semua bangunan kerajaan hingga 19 April.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS