Pendakwah terkenal, Dr Rozaimi Ramle, dilihat bersependapat dengan anggota parlimen Pandan, Rafizi Ramli, yang mempersoalkan sama ada peruntukan pada pindaan Akta 355 dikuatkuasakan secara adil ke atas semua orang Islam termasuk golongan elit dan bangsawan.
Menurut pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu persoalan yang dibangkitkan Rafizi perlu dijawab oleh golongan yang propindaan akta berkenaan.
Ini kerana, katanya, sudah ramai individu yang dikafirkan serta dimunafikkan hanya kerana mengkritik rang undang-undang (RUU) persendirian yang dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.
"Saya merasakan persoalan Anggota Parlimen Pandan, Rafizi, berkaitan kesaksamaan rakyat antara golongan bangsawan dan kelompok marhaen dalam isu pelaksanaan RUU355 perlu dijawab oleh golongan yang pro-RUU355 ini," katanya melalui status di Facebook beliau hari ini.
Selain parti politik, beberapa tokoh agama turut membangkitkan kesesuaian RUU355 dibawa PAS melalui Abdul Hadi itu.
Antaranya ialah Rozaimi sendiri, serta Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Perbezaan pendapat itu mendorong beberapa pemimpin PAS mengeluarkan kenyataan keras, termasuk Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.
Rozaimi sendiri pernah bertemu dengan pemimpin PAS untuk membincangkan isu cadangan pindaan Akta 355 itu dan ia pernah menimbulkan rasa kurang senang kepada pensyarah terbabit.
Menurut Rozaimi, mungkin ada pihak yang mempersoalkan mengapa RUU355 itu dikritik ketika banyak lagi akta lain yang dibentang dan diluluskan parlimen.
Jangan marah-marah
Memberi contoh sebuah program hiburan di televisyen, Rozaimi berkata, orang ramai mengkritik RUU355 itu kerana ia dikaitkan dengan Islam.
"Jika ada yang (bertanya) kenapa hanya kritik RUU355 ini sedangkan banyak lagi akta lain, jawapannya kerana, ia dikaitkan dengan Islam.
"Bahkan sudah ada yang dikafirkan dan dimunafikkan hanya kerana mengkritik usul persendirian tersebut," katanya.
Bagaimanapun, Rozaimi berharap pihak yang menyokong penuh cadangan pindaan itu supaya tidak marah.
"Jangan marah-marah. Jawab sahaja soalan tersebut dengan tenang. Ia relevan," katanya.
Sebelum itu anggota Majlis Fatwa Perlis itu turut memberikan contoh isu pindaan Akta 355 berkenaan program rancangan realiti televisyen, Gema Gegar Vaganza, yang kini mendapat kritikan ramai pihak termasuk daripada golongan ilmuan.
"Saya melihat ramai ilmuwan sudah mula mengkritik program ala Islamik Gema Gegar Vaganza kerana tidak menepati disiplin Islam. Bahkan Islam hanya sekadar kosmetik sahaja.
"Mengapa mereka mengkritik? Bukankah Gegar Vaganza sebelum ini pun tidaklah Islamik mana.
"Jawapannya mudah, kerana Gema Gegar Vaganza menjemput penasyid yang berwatak Islamik dan menggunakan lambang Islam," katanya lagi.
Rafizi hari ini mempersoalkan sama ada pindaan kepada Akta 355 itu akan memastikan semua orang Islam dihukum dengan adil dan saksama di bawah enakmen Syariah.
Khususnya, beliau bertanya jika pindaan kepada Akta 355 akan memberi 'kuasa' dan 'kekuatan' kepada pegawai penguat kuasa agama untuk mengambil tindakan terhadap mereka dari kalangan anggota elit masyarakat yang melakukan kesalahan.