Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Seminar pemikiran Nik Aziz jenayah intelek AMANAH'
Diterbitkan:  Apr 10, 2017 3:45 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Anggota Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali mendakwa Parti Amanah Negara (AMANAH) melakukan jenayah intelek apabila menganjurkan seminar mengenai pemikiran Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, seminar tersebut dianjurkan untuk menggambarkan AMANAH - yang ditubuhkan oleh pemimpin PAS yang diketepikan perwakilan mereka pada 2015 - adalah selaras dengan pemikiran bekas Menteri Besar Kelantan serta mursyidul am PAS berkenaan.

Ia juga seolah-olah mahu menggambarkan AMANAH mendapat restu Nik Aziz.

"Ini satu manipulasi terhadap pemikiran seseorang yang telah tiada di dunia ini. Tok Guru (Nik Aziz) tidak ada kena mengena dengan parti tersebut.

"Malah Tok Guru terus istiqamah bersama PAS sehingga ke akhir hayatnya. Tok Guru tidak pernah menyeru sesiapa untuk keluar dari PAS. Itu adalah fakta semasa hayat beliau," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Semalam AMANAH menganjurkan seminar di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor menampilkan beberapa bekas pemimpin PAS yang kini bersama AMANAH sebagai pembentang kertas kerja.

Antaranya Penasihat Umum AMANAH, Ahmad Awang, presidennya, Mohamad Sabu dan naib presiden yang baru dilantik, Datuk Husam Musa.

Husam adalah tokoh yang pernah dilihat dekat dengan Nik Aziz suatu ketika dulu.

Husam adalah anggota Dewan Undangan Negeri Salor, bekas anggota parlimen Kubang Krian dan pernah menjadi setiausaha akhbar serta politik Nik Aziz.

Mohd Khairuddin berkata, setiap orang berhak mengkaji pemikiran sesiapa pun termasuk tokoh yang telah meninggal dunia.

Namun kata ketua penerangan Dewan Uulama PAS itu seseorang tidak boleh menisbahkan sesuatu kepada seorang yang tidak pernah memperkatakannya.

"Kaedah fikah menyatakan, tidak dinisbahkan satu ungkapan pada seseorang yang diam.

"Berdasarkan kaedah ini tindakan AMANAH adalah satu jenayah intelek terhadap nama baik Allahyarham Tok Guru Nik Aziz.

"Pelbagai andaian dibuat dan direka lalu dinisbahkan kepada seorang yang telah tiada di dunia ini. Ia adalah satu penipuan, cerita rekaan dan pembohongan yang sangat nyata dan keji," jelasnya.

Tambah beliau, cerita rekaan tersebut diistilah sebagai 'buhtan' dalam hadis nabi atau cerita rekaan dan pembohongan yang jelas haram hukumnya.

"Seminar ini telah mencipta pelbagai cerita rekaan dan andaian berasaskan sangkaan yang rosak dan salah lalu dinisbahkan kepada batang tubuh Tok Guru Nik Aziz yang telah pergi ke rahmatullah dan tentu allahyarham tidak boleh menjawab bagi menafikannya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS