PARLIMEN | Tanggapan bahawa perempuan bawah umur mungkin boleh dikahwini kerana mereka kelihatan seperti dewasa perlu diperbetulkan, kata seorang anggota parlimen Parti Amanah Negara (AMANAH).
Menurut Dr Siti Mariah Mahmud, seseorang perempuan tidak dinikahi hanya kerana keadaan fizikal mereka seperti wanita dewasa.
Jika fizikal seseorang perempuan menjadi kayu ukur, maka penilaian psikologi mesti dibuat untuk memastikan mereka benar-benar bersedia berkahwin.
Ketua Wanita AMANAH itu juga berkata, mengahwinkan seseorang perempuan sebelum mereka menamatkan persekolahan juga menafikan hak individu terbabit menentukan masa depan sendiri.
"Pada zaman dulu anak perempuan dibesarkan untuk dikahwini, dicarikan suami, menjadi ibu dan nenek.
"Tetapi mengikut konteks semasa, anak-anak dibesarkan supaya berdikari, boleh membuat keputusan sendiri. Jadi kita perlu menyesuaikannya," kata beliau.
Dr Mariah berkata demikian pada sidang media di parlimen hari ini bagi mengulas kenyataan Datuk Shabudi Yahaya di Dewan Rakyat semalam.
Anggota Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, sesetengah remaja perempuan bersedia untuk dinikahi - jika mendapat kebenaran mahkamah syariah - kerana tubuh mereka "macam umur 18 tahun"
"Maknanya, dari segi fizikal dan spiritual, tak menjadi suatu halangan untuk dia (remaja terbabit) berkahwin," katanya.
Bekas pegawai agama itu juga mendakwa, tindakan seseorang wanita atau remaja berkahwin dengan lelaki yang merogol mereka boleh menjadi "ubat" kepada masalah sosial.
Kenyataan itu mendapat kecaman hebat daripada pelbagai pihak, termasuk pemimpin BN sendiri.
Dr Mariah berkata, beliau tidak menyalahkan Shabudin sepenuhnya dalam isu berkenaan kerana peruntukan undang-undang membenarkan perkahwinan itu berlaku.
"Saya tidak kata dia (Shabudin) betul, tetapi itulah cara pemikiran orang Malaysia, orang Islam hari ini," katanya.
Perkahwinan pada usia awal juga, kata Dr Mariah, mendorong seseorang kanak-kanak perempuan hanya berserah kepada nasib dan sentiasa bergantung kepada suami untuk hal kewangan.
Beliau juga berpendapat, ada keperluan serius untuk memperdebatkan umur minimum untuk sesuatu perkahwinan dibenarkan sesuai dengan pandangan agama.