Paling Popular
Terkini
story images
story images

Walaupun kerajaan akhirnya membatalkan niat mengambil alih rang undang-undang bagi meminda Akta 355 (RUU355), Datuk Ibrahim Ali menganggap PAS "tetap mendapat pahala".

Kata Presiden PERKASA itu, usul berkenaan dibawa oleh PAS tetapi setakat ini belum berjaya dibentangkan, dibahas dan didebatkan.

Menurut Ibrahim, usaha PAS itu adalah untuk memartabatkan mahkamah syariah supaya setara dengan mahkamah sivil dan ia dibuat dengan bersungguh-sungguh.

"Dulu (orang) kata PAS (sekadar bercakap) retorik. Cakap saja, tak nak buat. Apabila dia dah buktikan kesungguhan, dia ada halangan,” katanya kepada media di ibu pejabat pertubuhan berkenaan di Kuala Lumpur hari ini.

Usul meminda Akta 355 - atau Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenaya) 1965 - itu dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melalui peruntukan rang undang-undang persendirian.

Ia bertujuan untuk meningkatkan had hukuman maksimum mahkamah syariah menjadi denda sehingga RM100,000, penjara 30 tahun dan sebatan rotan 100 kali.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, masing-masing pernah menyatakan bahawa kerajaan akan mengambil alih pembentangan usul berkenaan.

Bagaimanapun ia ditentang parti komponen BN, termasuk beberapa parti dari Sabah dan Sarawak.

Justeru pada 29 Mac lalu Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan kerajaan tidak akan mengambil alih pembentangan usul berkenaan daripada PAS.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri , Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (gambar), bagaimanapun berkata, pengumuman Najib itu bukan bermakna kerajaan tidak menyokong pindaan berkenaan.

"Ramai yang keliru bahkan sewenangnya membuat andaian dan kesimpulan seolah-olah RUU355 ditolak kerajaan apabila perdana menteri mengumumkan kerajaan tidak membentangkan RUU355, sebaliknya kekal sebagai rang undang-undang persendirian yang dibawa PAS.

"Sebelum terus berpolemik dan menanggung dosa kering memfitnah, moleklah bertabayyun dan memahami beberapa fakta," katanya.

Ibrahim berkata, ibarat Muslim sudah bersedia mengerjakan haji, halangan yang menyebabkan niat itu tergendala tetap membolehkan seseorang itu dikurniakan pahala.

"Analoginya mudah. Ibarat orang naik naik haji, dia dah cukup duit, dia dah niat tapi tak dapat visa atau saat akhir dia sakit. Dia (tetap) dapat pahala. Sama juga dengan RUU355 PAS ini," katanya.

Sementara itu Ibrahim yang pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, atas nama Islam beliau menyeru Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memberi laluan utama kepada pembentangan usul Abdul Hadi itu.

Katanya, tiada sebarang alasan boleh diberikan Pandikar untuk tidak membenarkan Abdul Hadi membentangkan usul itu.

“Saya merayu - atas nama Islam - yang dipertua Dewan Rakyat supaya memberi laluan mudah kepada Hadi membawa usul RUU355.

“Di bawah peraturan mesyuarat, usul Hadi diletak di bawah dan kena didahulukan urusan kerajaan. (Kita) takut sidang parlimen tamat, tak ada masa dan usul Hadi tak dapat diteruskan.

"Atas nama Islam, berilah ruang supaya usul Hadi dinaikkan dan Hadi boleh bentang RUU355, ada perbahasan.

“Apabila ada perbahasan rakyat tahu siapa sokong siapa tentang. Secara jelas dan rasmi. Bila ada perbahasan kita baca dengan terperinci dan kita boleh dengar hujah yang sokong dan menentang,” katanya.

Ibrahim juga berkata PERKASA akan menghantar surat kepada Pandikar Isnin ini bagi merayu supaya usul itu dipercepatkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS