Parti Bebas Rasuah - itu bayangan nama parti baru yang ditubuhkan oleh bekas ketua pemuda PKR, Datuk Ezam Mohd Nor.
Tidak seperti parti politik lain, Ezam menyatakan, pertubuhan yang digagaskannya itu bersifat sangat sederhana kerana mempunyai satu objektif saja, iaitu memerangi rasuah habis-habisan.
Dan fokus parti baru itu adalah Kementerian Kewangan kerana, menurut Ezam, di situlah "lubuk kejahatan" dan salah guna kuasa berlaku.
Memberikan contoh 1MDB dan SRC International, bekas senator itu berkata, di kementerian berkenaan juga berlaku "kejahatan" lain seperti penyelewengan tender kerajaan.
"Parti baru ini akan fokus dan membongkar lubuk kejahatan salah guna kuasa ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ia adalah pengesahan pertama dibuat Ezam sejak khabar mengenainya diperkatakan beberapa hari lalu. Antara pihak yang membayangkannya ialah bekas naib ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Ezam yang sebelum ini menyertai Umno semula pada Mei 2008 dan berkhidmat dengan kerajaan berkata, 'Parti Bebas Rasuah' itu tidak berminat untuk membentuk kuasa seperti parti politik lain.
Justeru, katanya, parti itu akan kekal menjadi parti kecil dan berobjektif tunggal.
"Parti akan hilang tumpuan apabila ia menjadi besar. Parti yang besar juga akan menyebabkan ianya tertumpu kepada perebutan kuasa.
"Justeru, parti ini tidak boleh dan tidak akan menjadi parti besar," katanya.
Berapa perdana menteri gugur
Untuk rekod, perjalanan politik Ezam memang berwarna-warni.
Namanya mula menjadi perhatian ramai pada era reformasi selepas Anwar digugurkan daripada jawatannya sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno.
Ketika mengetuai Gerakan Demokrasi dan Antikorupsi (GERAK), Ezam pernah mendakwa memiliki enam kotak berisi dokumen sulit kerajaan.
Bagaimanapun pada Mei 2009 beliau menafikan perkara itu.
Selain Umno dan PKR, Ezam juga pernah memohon menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) walaupun ia dipimpin tokoh yang pernah ditentangnya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Borang permohonan itu diserahkan kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 12 Oktober 2016.
Bagaimanapun penghujung Disember tahun lalu - atau tiga bulan selepas memohon menyertai BERSATU - Malaysiakini melaporkan Ezam meninggalkan parti berkenaan.
Jawatan terakhirnya dalam kerajaan ialah Pengarah Komunikasi di Kementerian Kewangan mulai 15 Mac 2014.
Bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, sejarah dunia banyak menyaksikan beberapa parti kecil berjaya dengan komited kepada hanya satu objektif.
"Kejayaan parti seperti ini bukan diukur kepada berapa orang perdana menteri yang dilahirkan, tetapi berapa perdana menteri yang gugur oleh kerana fokus mereka kepada isu besar negara," katanya.
Kata Ezam, Khairudin dan beberapa aktivis lain yang pernah merengkok dalam penjara akan mempelopori parti baru itu dan sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mahu melawan rasuah.
"Maklumat khusus parti, nama, jawatankuasa penaja dan lain-lain akan kami kongsikan setelah segala urusan berkaitan dengan Pendaftar Pertubuhan selesai," katanya