Jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga pembantunya menemui maut di tangan tiga perayu di sebuah ladang dengan mayat mereka dibakar sepenuhnya menggunakan kayu, Mahkamah Persekutuan memutuskan hari ini.
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mengambil masa satu jam 40 minit untuk membacakan penghakiman mahkamah juga berkata wujud keganasan memandangkan kesan darah mangsa ditemukan pada kayu pemukul kriket, dua kepingan zink dan dinding rumah ladang itu.
"Melainkan ada keganasan, darah tidak akan terpercik ke dinding," katanya menambah kewujudan unsur ketakutan juga dibuktikan menerusi keterangan saksi pendakwaan, Siti Hamidah Karnax, pembantu rumah warga Indonesia yang bekerja di ladang itu yang berkata dia mendengar jeritan pada malam hari kejadian.
Arifin berkata wujud peluang untuk bekas peguam N Pathmanabhan, 47; dan pekerja ladang T Thilaiyalagan, 25; dan R Kathavarayan, 37, untuk melakukan pembunuhan.
Katanya kawasan kejadian merupakan hartanah milik Pathmanabhan dan Sosilawati memaklumkan kepada Pathmanabhan untuk bertemu dengannya yang memerlukan mangsa ke ladang dan keterangan menunjukkan Thilaiyagan dan Kathavarayan adalah pekerja Pathmanabhan.
"Ringkasnya, apabila Sosilawati dan tiga lagi memasuki ladang itu, terbuka satu peluang untuk ketiga-tiga tertuduh melakukan pembunuhan. Ringkasnya, ada jalan mudah untuk ketiga-tiga tertuduh melakukan kesalahan itu," katanya.
Arifin juga berkata persediaan dilakukan sebelum pembunuhan dengan batang-batang kayu dibawa masuk ke ladang dan saksi pendakwaan memberi keterangan yang dia melihat unggun api daripada pembakaran batang-batang kayu.
"Kesimpulan yang boleh dibuat daripada unggun api besar yang dilihat oleh Siti Hamidah pada sekitar tengah malam hari kejadian sehingga melecurkan pelepah sawit adalah seseorang bersusah payah menyembunyikan kesan-kesan kejadian pada malam hari berkenaan dan nasib yang menimpa Sosilawati serta tiga lagi," katanya.
Beliau berkata ketiga-tiga perayu juga cuba mengurangkan syak wasangka apabila melindungi jejak mereka selepas pembunuhan itu dengan membakar mayat mangsa bagi memisahkan Sosilawati dan tiga lagi daripada ladang, melupuskan barangan kepunyaan mangsa dan membuangnya di pelbagai lokasi serta cuba mengalihkan tumpuan polis dengan meletakkan kereta Sosilawati di Subang Jaya dengan harapan dapat memesongkan siasatan polis.
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara itu menolak rayuan akhir Pathmanabhan, Thilaiyalagan dan Kathavarayan serta mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap mereka kerana membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Mereka didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2013 atas kesalahan itu yang dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010. Rayuan mereka ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 2015.
Hakim-hakim lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Azahar Mohamed dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.
Sementara itu, panel hakim Mahkamah Persekutuan membebaskan tertuduh ketiga R Matan, 26, selepas mendapati kekurangan bukti untuk mengaitkan lelaki itu dengan pembunuhan tersebut.
Arifin berkata Matan cuma seorang pekerja ladang dan mahkamah mendapati adalah tidak selamat untuk bergantung kepada keterangan saksi pendakwaan yang diisytihar belot oleh hakim Mahkamah Tinggi. Saksi itu berkata dia ternampak Matan di ladang pada 10 malam hari kejadian.
Arifin juga berkata seorang lagi saksi pendakwaan turut melihat Matan memunggah batang-batang kayu di ladang sehari sebelum kejadian namun tiada bukti yang menunjukkan dia terlibat dalam mendapatkan barangan terbabit.
"Kami memutuskan hakim perbicaraan yang arif terkhilaf kerana memanggil tertuduh ketiga untuk membela diri di akhir kes pendakwaan," katanya.
Dalam penghakimannya, Arifin berkata dua kepingan zink mempunyai kesan darah yang mengandungi DNA Kamil dan Kamal manakala DNA Hisham pula ditemukan pada kayu pemukul kriket.
Katanya dapatan mahkamah mendapati ada banyak bukti yang dikemukakan di hadapan mahkamah yang menunjukkan Sosilawati dan tiga lagi dibunuh di ladang itu dalam tempoh masa dan pada tarikh yang dinyatakan dalam pertuduhan dan pembunuhan mereka dilakukan oleh ketiga-tiga tertuduh yang bertindak dengan niat bersama.
Arifin berkata keterangan juga menunjukkan Sosilawati, menerusi syarikatnya Southern Symphony Sdn Bhd, ada urus niaga dengan Pathmanabhan yang bertindak sebagai peguamnya dan mereka memeterai satu perjanjian usaha sama untuk menjual satu hartanah milik Southern Symphony pada kadar yang dinaikkan dan keuntungan daripada jualan itu dikongsi sama rata antara mereka.
Beliau berkata Sosilawati mahu mempercepatkan tarikh penunaian dua cek bernilai RM4 juta yang dikeluarkan Pathmanabhan dan sebab utama beliau serta tiga lagi ke Banting pada hari kejadian.
Di luar mahkamah, peguam Amer Hamzah Arshad berkata Matan yang ditahan sejak 2011 berasa lega dengan keputusan itu.
Katanya Matan akan dibawa balik ke Penjara Kajang sebelum dibebaskan.
- Bernama