Selepas agak lama menyepikan diri, individu yang menggelarkan dirinya sebagai 'raja bomoh Malaysia' sekali lagi mencuri tumpuan dengan ritual aneh terbarunya.
Kali ini, Datuk Ibrahim Mat Zin bersama pengikutnya mengadakan upacara untuk melindungi Malaysia daripada ancaman negara asing, khususnya Korea Utara.
Dalam rakaman video dimuat naik di Youtube itu, Ibrahim bersama tiga pengikutnya dilihat berada di tepi sebuah pantai dengan membawa beberapa peralatan ritual.
Antara peralatan berkenaan berupa buluh kecil yang dijadikan teropong, dua biji kelapa dan lima meriam buluh.
Ibrahim yang tampil seperti kebiasaan dengan memakai baju kot, bertali leher serta bersongkok itu kemudian dilihat membaca doa.
"Ya Allah ya Rahman, kau selamatkanlah negara kami daripada ancaman negara asing, semua sekali kita berdoa membuat sembahyang hajat dan membaca Yassin," kata Ibrahim dalam upacara berkenaan.
Dalam rakaman selama 3 minit 18 saat itu, Ibrahim berkata beliau melakukan 'scan' untuk 'memagar Malaysia di udara, bumi dan air'.
Pengasas Persatuan Seni Silat Gayung Ghaib Malaysia itu turut berkata, seramai lima juta pengikutnya mengadakan sembahyang hajat dan bacaan Yassin selama 44 hari bagi tujuan sama.
"Ya Allah ya Rahman, kau kabulkan doa kami. Mudah-mudahan apa yang kami buat dapat diredhai Allah SWT. Allahhuakbar, Allahuakbar," katanya.
Dalam upacara itu, Mat Zin juga dilihat mengocak dan menepuk permukaan air laut dengan menyebut kalimah Allahuakbar berulang kali.
Sementara itu, sebuah blog melaporkan Ibrahim sebagai berkata bahawa ritual itu bertujuan memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara, selain bertujuan melindungi negara ini.
"Ritual Datuk pada kali ini untuk bertujuan untuk memagar (melindungi) Malaysia dari sebarang ancaman atau serangan negara luar khususnya Korea Utara.
"Selain daripada itu, upacara ini juga untuk melembutkan hati pemimpin tertinggi Korea Utara agar segera membebaskan 11 rakyat Malaysia ditahan sekaligus memulihkan isu yang semakin berlarutan ini," katanya kepada blog Smasa News.
Ibrahim berkata ritual dilakukan bukan untuk memprovokasi mana-mana pihak, tapi sekadar langkah awal bagi memastikan konflik itu dapat diselesaikan segera.
"Sebab itu Datuk hanya guna meriam buluh sebagai simbolik dan petua orang dahulu kala ketika diancam pihak musuh," katanya lagi.
Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara tegang berikutan pembunuhan Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2), 13 Februari lalu.
Polis mendakwa dua wanita, seorang warga Indonesia dan Vietnam terlibat dalam pembunuhan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara itu, Kim Jong-un.
Korea Utara bagaimanapun tidak berpuas hati dengan siasatan Malaysia sehingga memaksa kerajaan mengisytiharkan duta Korea Utara ke negara ini sebagai persona non grata atau individu yang tidak dikehendaki.
Berikutan itu Korea Utara menghalang 11 rakyat Malaysia meninggalkan negara itu, menyebabkan Malaysia juga mengambil tindakan sama.
Bagaimanapun dua rakyat Malaysia yang merupakan petugas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Korea Utara dilapor berjaya dibawa keluar dari republik itu, 9 Mac lalu.