Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peluang kerja anak ‘Nogori’ semakin tertutup

ULASAN l Pada pemerhatian saya baru-baru ini menunjukkan bahawa rata-ratanya anak muda Negeri Sembilan sukar mendapat perkerjaan di negeri kelahiran sendiri.

Akibat tekanan kos sara hidup yang semakin tinggi akibat kenaikan barangan mentah seperti minyak petrol dan gula, rakyat terdesak untuk mendapatkan pekerjaan yang menawarkan gaji yang lebih relevan dengan situasi semasa.

Pembangunan industri yang semakin rancak di Kuala Lumpur dan Selangor menyebabkan anak muda lebih berminat mencari pekerjaan di sana.

Sama ada mereka menetap di kawasan tersebut mahupun sanggup berulang-alik setiap hari, sudah tentu mereka sanggup menghadapinya, memandangkan perkembangan ekonomi di negeri jiran lebih rancak berbanding di negeri kelahiran.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Malaysian Investment Development Authority, kerajaan negeri Selangor berjaya membawa pelaburan masuk sebanyak RM7.8 bilion pada tahun 2016.

Manakala pada tahun yang sama hanya RM1.9 bilion yang berjaya dilabur masuk ke Negeri Sembilan, iaitu RM288 juta merupakan pelaburan domestik, manakala bakinya RM1.68 bilion merupakan pelaburan asing langsung.

Data yang ditujukkan ini menimbulkan pelbagai persoalan – bagaimana sebuah negeri yang berhampiran dengan pusat pentadbiran, ibu negara dan juga negeri Selangor tidak mampu berkembang pesat seperti kawasan jiran untuk tempoh yang lama?

Adakah disebabkan kerajaan negeri kurang mementingkan pembangunan industri dan sosioekonomi sebelum ini? Atau peruntukan dan sumber pendapatan kerajaan negeri kurang diagihkan semula pada projek pembangunan?

Sebagai sebuah kerajaan negeri yang ditadbir oleh Umno BN, saya menganggap sudah tentu kerajaan persekutuan yang ditadbir parti yang sama sepatutnya saling bantu membantu dalam membangunkan Negeri Sembilan.

Hakikatnya, Negeri Sembilan yang ada pada hari ini tidak mampu bersaing dengan sebuah negeri jiran yang diperintah oleh Pakatan Harapan. Walhal kita sudah sedia maklum, Negeri Sembilan ini kaya dengan gudang perindustrian serta tempat-tempat pelancongan pantai yang menarik.

Jika keadaan ini berterusan, saya khuatir anak-anak muda ‘Nogori’ akan meninggalkan kampung halaman dan berpindah ke negeri-negeri berdekatan dan menyebabkan ekonomi industri dikuasai oleh warga asing.

Dalam pemerhatian saya, kawasan perindustrian Nilai 3 telah dipenuhi oleh warga asing terutama dari Asia Tengah, sebagai penjual pakaian dan perhiasan rumah. Timbul di pemikiran saya “ke mana perginya anak muda tempatan?"

Situasi ini membuktikan bahawa kerajaan negeri perlu memikirkan polisi terbaik yang memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, bukannya memberi akses kepada warga asing sewenang-wenangnya sehinggakan rakyat negeri terpaksa bekerja di negeri yang lain.

Sudah tiba masanya untuk kerajaan negeri peka mengenai isu ini. Jangankan “anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah kebuluran!"

Kerajaan negeri juga perlu mempergiatkan lagi usaha untuk mempromosi pelaburan masuk ke negeri ini.

Perubahan landskap negeri Selangor dan Johor dalam dua dekad perlu dicontohi oleh Negeri Sembilan dalam mewujudkan ekonomi yang mapan serta fasiliti yang lebih maju.

Pelaburan yang banyak akan memberikan manfaat kepada rakyat tempatan sendiri, melalui pertambahan hasil kerajaan negeri dan tempatan. Seperti yang ditegaskan oleh rakan-rakan parti saya, keadilan sosial perlu diberi keutamaan, bukannya sikap sambil lewa dan tatakelola yang buruk.


AMINUDDIN HARUN adalah ADUN Sikamat, Negeri Sembilan yang mewakili PKR.

Tulisan ini adalah pandangan peribadinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS