Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kira-kira 600,000 permohonan baru Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi tahun ini ditolak kerana gaji mereka melebihi RM4,000.

Malah Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, antara permohonan yang ditolak juga adalah belasan ribu permohonan yang terdiri daripada individu berpendapatan antara RM8,000 hingga RM12,000 yang turut memohon BR1M.

"Kita terpaksa tolak 600,000 permohonan sebab gaji mereka melebihi RM4,000. Orang gaji RM12,000 pun ada yang memohon.

"Gaji lebih RM5,000 ada 260,000 orang yang memohon. Gaji dari RM6,000 ke RM8,000 ada dalam 40,000 ke 50,000 orang yang memohon. Dan berbelas-belas ribu orang daripada gaji RM8,000 hingga 12,000 yang memohon.

"Jadi sebab itu kita perlukan pengesahan kerana kita tak mahu kerajaan salurkan RM700 juta (wang BR1M) pada orang yang tak sepatutnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di parlimen hari ini.

Selain itu, anggota parlimen Titiwangsa itu berkata, pihaknya juga telah mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyalurkan BR1M kepada 705,562 pemohon yang telah mendapat wang bantuan pada tahun lalu.

"Saya dah suruh LHDN masukkan wang peringkat pertama kepada 705,562 pemohon sebab mereka dapat (BR1M) tahun lepas.

"Yang mana permohonan baru dia kena memenuhi syarat-syarat. Tak boleh bagi dokumen yang tak lengkap.

“Tak ada kena mengena dengan SSM (suruhanjaya syarikat Malaysia) sebab kita ada proses untuk periksa.

"Jadi tak perlu ada pihak yang padam nama di SSM kerana kalau ada nama di SSM pun, kalau pendapatan bawah RM4,000 kita tetap bagi," katanya lagi.

Sebelum ini terdapat isu individu yang mendapat BR1M pada tahun lalu tidak mendapat bantuan berkenaan pada tahun ini kerana mempunyai syarikat berdaftar dengan SSM.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS