Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual menghadiri satu majlis di Padang Rengas di Perak, yang adalah kerusi parlimen pengkritik paling lantangnya, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.
Pembantu bekas perdana menteri itu mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa Mahathir akan hadir pada 25 Mac ini.
Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin juga menyebut mengenai acara berkenaan di Twitter pagi ini, dengan mendakwa bahawa ahli parlimen Padang Rengas itu akan melarikan diri bila Mahathir 'menyerang' kawasannya pada 25 Mac ini.
Pondan Padang Rengas akan larikan diri bila orang tua nyanyuk serang kawasannya 25 Mac ini.Orang tua 91th pun takutkah?Poorah! pic.twitter.com/RdKmzaC9AA
— Zainudin Maidin (@ZainudinMaidin) March 8, 2017
Ketika dihubungi, Nazri berkata beliau menyedari bahawa Mahathir akan datang ke Padang Rengas.
"Sebab itu saya cabarnya (untuk bertanding di Padang Rengas). Saya tidak sebarangan buat cabaran.
"Oleh kerana dia akan datang, saya alu-alukannya. Jika dia mahu, saya boleh bentang karpet merah untuk menyambutnya.
“Saya bersedia untuk berlawan dengannya bila-bila masa di Padang Rengas," katanya kepada Malaysiakini.
Hujung minggu lalu, Mahathir, yang juga adalah pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), membuat cabaran balas dengan menyarankan Nazri untuk bertanding menentangnya di kerusi Parlimen Langkawi.
Ini mencetuskan spekulasi bahawa bekas perdana menteri berusia 91 tahun itu akan membuat kemunculan semula dalam politik selepas meletak jawatan pada tahun 2003.