Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
4.1 juta rakyat M'sia yang layak mengundi belum berdaftar
Diterbitkan:  Mar 4, 2017 6:26 AM
Dikemaskini: 10:30 PM

Sejumlah 4.1 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum berdaftar sebagai pengundi setakat Februari lepas, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata jumlah berkenaan merangkumi pelbagai kaum yang majoritinya terdiri daripada golongan muda berumur sekitar 21 tahun.

Disebabkan itu, katanya SPR kini mengambil langkah bekerjasama dengan pihak swasta bagi menganjurkan pelbagai program dalam menarik minat rakyat untuk berdaftar sebagai pengundi terutama kepada golongan sasar.

"Berdasarkan statistik terkini itu, kira-kira 45 peratus daripada rakyat Malaysia adalah golongan muda dan lebih empat juta daripadanya tidak berdaftar sebagai pengundi dan ini adalah satu kebimbangan.

"Jika tidak berdaftar sebagai pengundi, tidak guna bercakap di media sosial (berkaitan situasi politik negara), kalau apa yang dicakapkan itu tidak diterjemah dalam bentuk undi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Pendaftaran Pengundi di Kompleks Media Kumpulan Karangkraf di Shah Alam semalam.

Jelas Mohd Hashim, antara faktor golongan muda tidak berdaftar sebagai pengundi adalah disebabkan mereka tidak memahami kepentingan kuasa rakyat ataupun tidak memiliki kemudahan di sekitar kawasan perumahan khususnya di luar bandar untuk berbuat demikian.

Sehubungan itu beliau berkata kempen selama tiga bulan akan digerakkan untuk mendekati rakyat yang belum berdaftar sehingga ke akar umbi bagi memberi kefahaman mengenai kepentingan menjadi pengundi.

"SPR akan tumpukan di kawasan yang rakyat sukar keluar untuk mendaftar pengundi seperti di luar bandar selain di pusat beli-belah di bandar-bandar utama. Usaha ini bagi memastikan lebih empat juta belum berdaftar itu dapat menunaikan tanggungjawab mereka," katanya.

Mohd Hashim dalam pada itu meminta pengundi berdaftar supaya lebih serius dalam menunaikan tanggungjawab kepada negara dengan keluar mengundi semasa pilihan raya diadakan.

Ini kerana katanya, peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya hanya mencapai sehingga 75 peratus dan tidak pernah mencecah 100 peratus atau lebih 90 peratus.

"Sebagai contoh semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini, hanya 68 peratus sahaja yang keluar mengundi, .mana lagi baki 22 peratus. Disebabkan itu, kita kena serius dalam hal ini jika mahu menegakkan demokrasi di negara kita," katanya.

Kempen Pendaftaran Pengundi selama tiga hari di Kompleks Media Kumpulan Karangkraf itu buat julung kali dianjurkan dengan usahasama dua badan swasta iaitu akhbar Sinar Harian dan syarikat penerbangan tambang murah Air Asia X Berhad.

Menerusi kempen itu, Air Asia X Berhad menawarkan 1,100 tiket penerbangan percuma ke beberapa destinasi luar negara bagi rakyat yang berdaftar sebagai pengundi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS