Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mengapa banyak kes dibawa terhadap k'jaan PAS K'tan - Husam
Diterbitkan:  Mar 1, 2017 4:55 PM
Dikemaskini: 9:05 AM

Bekas exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa melahirkan kebimbangannya dengan peningkat kes-kes yang dibawa ke mahkamah semasa pentadbiran PAS sekarang berbanding dahulu.

Katanya, sama ada kepimpinan PAS yang menerajui pentadbiran negeri Kelantan memimpin dengan sempurna, boleh dinilai melalui kes-kes mahkamah yang sedang berjalan.

“Apa punca banyaknya kes-kes di bawa ke mahkamah? Kecekapan kerajaan negeri atau kelemahannya?” soalnya dalam satu kenyataan media.

Lebih membimbangkan, kata Husam yang kini menganggotai Parti Amanah Negara (AMANAH), kerajaan negeri yang di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob tewas dalam beberapa kes baru-baru ini.

“Semalam, hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu membuat keputusan menyebelahi firma Dae Hanguru Infra Sdn Bhd dalam samannya ke atas anak syarikat kerajaan negeri - Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd.

“Penamatan kontrak sepihak yang dibuat oleh kerajaan negeri melalui Baldah diputuskan oleh mahkamah sebagai melanggar kontrak atas ikatan yang sah dan telah termetrai,” katanya.

Jumlah bayaran pampasan, menurut Husam akan ditaksirkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Husam adalah pengerusi Baldah Toyyibah ketika waktu kejadian dan tampil sebagai saksi defenden.

Selain kes itu, katanya, pada 26 Februari lalu, beliau dipanggil memberikan keterangan sebagai saksi di Mahkamah Tinggi Kota Bharu - terhadap satu minit arahan menteri besar pada tahun 2013.

Arahan ketika itu adalah supaya setiap 348 peneroka Felcra Bukit Tandak dikekalkan dengan keluasan enam ekar.

Menurutnya, mahkamah belum membuat keputusan.

Beliau berkata mahkamah tinggi yang sama - hari ini membenarkan permohonan peniaga pasar besar Pasir Puteh menghalang arahan berpindah ke pasar baru yang tidak memuaskan hati mereka.

Pendengaran penuh akan dijalankan pada 26 Mac ini.

“Sepanjang saya di mahkamah, saya tidak melihat adanya mana-mana pimpinan kerajaan negeri memantau perbicaran kes-kes terbabit.

“Ia agak berbeza dari zaman Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Aziz,” katanya.

Menurut Husam, beliau difahamkan, terdapat beberapa kes lain yang sedang dalam perbicaraan di mahkamah melibatkan kerajaan negeri atau pimpinan PAS.

Antaranya saman ke atas Kijang Kuar, saman balas ke atas Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK), saman ke atas dua pimpinan PAS berkaitan sebidang tanah di Rantau Panjang, saman Orang Asli ke atas kerajaan negeri dan beberapa agensi serta tiga kes lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS