Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis menasihatkan penduduk di Perlis agar tidak membakar jerami padi secara terbuka pada waktu siang ketika musim angin timur sekarang.
Pengarahnya Fadzil Haroon berkata situasi cuaca panas ketika ini boleh meningkatkan kes kebakaran.
"Cuaca sekarang yang panas dan berangin serta kering adalah berisiko tinggi untuk kebakaran menjadi lebih besar walaupun asalnya hanya melakukan pembakaran kecil.
"Oleh itu kita nasihatkan mereka agar melakukan aktiviti pembakaran jerami padi di petak sawah pada waktu malam agar apinya tidak melarat," katanya kepada pemberita.
Beliau menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Bangunan Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Kangar yang telah diubah suai dan dinaik taraf, di Kangar hari ini.
Fadzil berkata pembakaran jerami pada waktu siang juga berisiko mengehadkan jarak pandangan pemandu kenderaan seterusnya boleh menyumbang kepada punca kemalangan.
Beliau berkata pada tahun ini JBPM Perlis mencatatkan statistik purata panggilan kebakaran sebanyak empat hingga lima kali sehari dalam tempoh Januari hingga bulan ini berbanding 40 panggilan sehari dalam tempoh sama tahun lepas.
- Bernama