Pembunuhan abang pemimpin tinggi Korea Utara, Kim Jong-nam adalah perbuatan terancang, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Menurutnya, kedua-dua suspek wanita yang membunuh Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) telah dilatih untuk menjalankan pembunuhan itu beberapa kali sebelum ini, termasuk di Pavilion dan KLCC sebelum berdepan situasi sebenar.
"Sudah tentu mereka tahu (rancangan pembunuhan). Mereka juga tahu cecair yang disapu itu toksik.
"Selepas selesai, kedua-dua mereka diarahkan oleh empat suspek yang sudah meninggalkan negara ini untuk membersihkan tangan di tandas.
“Kita juga percaya kedua-dua suspek wanita itu telah bersedia dengan cecair di tangan mereka sebelum menyapu bahan toksik itu ke muka mangsa," katanya pada sidang media di Bukit Aman di Kuala lumpur, hari ini.
Suspek wanita yang masing-masing memiliki pasport Vietnam dan Indonesia ditahan polis minggu lalu.
Khalid berkata, reman kedua-dua wanita itu yang tamat hari ini akan disambung tujuh hari lagi bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.
Manakala, lelaki tempatan yang juga teman lelaki wanita Indonesia itu, dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.
Khalid turut mengesahkan empat suspek yang dipercaya merancang pembunuhan itu dan dicari polis, sudah pulang ke Pyongyang, Korea Utara.
"Kita sudah mengemukakan permohonan kepada pihak kedutaan (Korea Utara) untuk minta kedua-dua lelaki warga negara itu tampil memberi keterangan.
"Setakat ini kita belum dapat kerjasama daripada mereka...Jika gagal (tampil), waran tangkap akan dikeluarkan," katanya.
Jong-nam meninggal dunia pada 13 Februari lalu selepas diserang di aras pelepasan KLIA2.
Berikut antara intipati lain sidang akhbar hari ini.
- Polis tidak akan menerima pelawaan pihak berkuasa Korea Utara untuk bekerjasama dalam menjalankan siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam.
- Polis tingkatkan kawalan keselamatan di rumah mayat HKL kerana terdapat insiden cubaan pecah masuk.
- Polis akan menghubungi seorang individu di kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur dan seorang yang bekerja dengan penerbangan Korea Utara untuk membantu memudahkan penyiasatan.
- Tiada seorang pun anggota keluarga Kim Jong-nam tampil untuk mengenal pasti mayat simati atau memberikan sampel DNA mereka.