Paling Popular
Terkini

ULASAN l Ini bukan masanya untuk menuding jari, mahu pun mencari 'kambing hitam', lagi pun yang pergi pastinya sudah pergi dan tidak akan kembali lagi!

Memang ramai yang akan mengalirkan air mata terutama ibu dan ayah. Malah orang yang tiada kaitan darah pun pasti bersedih dan berasa terharu.

Namun daripada berpolemik, eloklah masa yang ada digunakan untuk mengenal pasti punca dan cara terbaik untuk menangani masalah agar ia tidak berulang.

Komen peribadi penulis merujuk kepada insiden yang meragut nyawa lapan remaja berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam berdekatan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru.

Insiden berdarah itu berlaku sekitar pukul 3 pagi Sabtu 18 Feb lepas dan mangsa yang terkorban berusia antara 13 hingga 16 tahun.

Banyak kes

Insiden maut yang membabitkan remaja dan kanak-kanak yang kalau hendak dihujah punca kejadian dan dijadikan isu serta bahan polemik memang sudah banyak.

Cuma yang digusarkan ia masih berlaku di sebalik banyak kenyataan yang dibuat seusai kejadian dilaporkan dan menjadi tular di media sosial.

Kes kanak-kanak hilang, dicolek, mati didera, mati akibat kecuaian si penjaga termasuk ibu bapa, dibunuh dan membunuh diri bagaikan sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat hari ini.

Berita terpampang di akhbar, kita baca, kita tularkan, pelbagai pihak beri kenyataan dan ikrar untuk ambil langkah supaya kejadian tidak berulang, pun akhirnya tiada titik nokhtah.

Begitu juga kes remaja yang terkorban pada pagi Sabtu 18 Feb lepas. Rupanya aktiviti ber'basikal lajak' atau istilah 'main lajak' bukan fenomena baru!

Penulis membaca satu laporan akhbar yang memetik seorang pemilik kedai basikal di Johor Bahru, trend mengubah suai basikal ini semakin meningkat sejak dua tahun kebelakangan ini, khususnya untuk perlumbaan.

Bukan murah untuk membuat pengubah suaian ini kerana ada yang menelan belanja sehingga RM500. Antara yang diubah suai ialah membuang brek!

Satu laporan akhbar yang lain pula menyatakan, Jalan Lingkaran Dalam di mana insiden maut itu berlaku dikatakan kerap digunakan oleh kumpulan basikal lajak sebagai litar perlumbaan terutama selepas tengah malam.

Pelbagai komen juga disiar termasuk orang ramai yang pernah melihat aksi penunggang basikal lajak ini yang seakan gaya wira layar perak "superman".

Sistem gagal

Pada pandangan penulis, dalam apa jua kes, sistem yang ada termasuk undang-undang dan institusi kekeluargaan gagal melindungi kanak-kanak mahu pun remaja terbabit.

Kebajikan kanak-kanak dan golongan remaja secara umumnya tertakluk kepada tanggungjawab orang dewasa! Noktah!

Kanak-kanak dan remaja sering dikaitkan dengan istilah nakal dan ada remaja yang terlalu mengikut "darah muda" dan akibatnya mereka menjadi tidak sabar, lekas marah dan gemar melakukan kegiatan atau aksi berbahaya tanpa memikirkan kesan ke atas keselamatan diri.

Bagi mereka ini, yang penting adalah kepuasan diri! Keselamatan diri tolak tepi, nasihat dan teguran emak ayah langsung tidak diendah.

Ingat lagi aksi kumpulan remaja perempuan di Ipoh yang menjadi tular dalam media sosial, memanjat papan tanda Ipoh serta remaja yang memanjat kren tinggi juga berlaku di Ipoh!

Ada juga remaja yang terjebak dengan kegiatan tidak sihat termasuk penagihan dadah, jenayah juvana serta pergaulan bebas sehingga ada yang mengandung di luar nikah dan sanggup membuang bayi yang dilahirkan!

Bermula dari rumah

Bercakap tentang sistem, ia tidak lebih daripada peraturan, prosedur, polisi, panduan atau ketetapan.

Istilah ini bukan sesuatu yang asing dalam kehidupan kita cuma apakah kita peka serta melaksanakannya dan menjadikan ia tonggak kehidupan kita?

Sistem yang paling penulis ingin sentuh ialah institusi kekeluargaan serta keibubapaan.

Masyarakat Melayu seharusnya biasa dengan ungkapan ini "anak ibarat kain putih, ibu bapa yang mencorakkannya."

Ibu bapa bertanggungjawab membentuk peribadi anak. Acuan di tangan ibu bapa dan bukan menyerahkan fungsi keibubapaan kepada orang luar mahu pun guru.

Desakan hidup mungkin membuatkan ibu bapa terpaksa membiarkan "orang luar" membentuk peribadi anak sama ada datuk nenek, orang gaji.

Hubungan anak dengan emak dan ayah menjadi renggang apabila anak membesar, mereka lebih suka berada di luar rumah dan menghabiskan masa dengan rakan sebaya.

Keadaan menjadi lebih teruk apabila ibu bapa tidak boleh lagi membuka mulut menegur peri laku anak. Anak akan angkat kaki dan keluar rumah.

Untuk mengelakkan krisis atau suasana tegang di rumah, ibu bapa membiarkan sahaja anak remaja mereka bebas melakukan sekehendak hati.

Apa pun, kita tidak memerlukan lebih banyak insiden berdarah untuk membuka mata kepincangan yang berlaku dalam rumahtangga kita sendiri.

Ibu bapa yang mungkin ada masalah dengan anak perlu berani mencari jalan untuk menjernihkan kembali hubungan dengan anak. Jangan biarkan mereka seperti layang-layang yang putus talinya.

Jangan sesekali menjadikan kesibukan kerja sebagai alasan tidak dapat memberi secukup perhatian untuk anak. Kualitikan masa dengan anak.

Dapatkan bantuan jika tidak berdaya menasihati anak, bukan sekadar berharap kepada takdir untuk mengubah keadaan.

Pupuk ikatan kasih sayang dengan anak dari kecil lagi supaya ibu bapa kekal idola anak walaupun sudah membesar dan kuasa veto masih di tangan emak dan ayah dalam mengawal gerak laku anak!

Dalam kecanggihan teknologi dan kemewahan hidup hari ini, berpeganglah juga kepada peribahasa "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna".


Melati Mohd Ariff adalah kakitangan Bernama.

Bagaimanapun ulasan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian
Bernama mahupun Malaysiakini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS