Pemimpin DAP, Lim Kit Siang, boleh menjadi perdana menteri jika ia diingini masyarakat Melayu, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad.
Berucap di Balik Pulau malam tadi, bekas perdana menteri itu bagaimanapun berkata, buat masa ini Lim tidak dapat menjadi perdana menteri kerana DAP adalah "parti kecil".
"Dulu ada dengar (orang cakap), kalau Umno jatuh, Kit Siang akan jadi PM.
"DAP parti kecil, (ia) tak akan berlaku... lainlah kalau orang Melayu (yang) nak," kata Dr Mahathir di depan kira-kira 1,500 orang yang hadir di ceramah berkenaan.
Sejak akhir-akhir ini Umno mendakwa DAP akan menjadikan Malaysia sebuah negara sekular jika BN kalah pada pilihan raya umum akan datang.
Pilihan raya umum ke-14 mesti diadakan selewat-lewatnya suku ketiga tahun depan walaupun beberapa pihak menjangkakan ia boleh diadakan seawal tahun ini.
Lim menganggap tuduhan kepada DAP itu sebagai fitnah dan tidak pernah terfikir untuk menjadi perdana menteri sejak terlibat dalam politik lebih 50 tahun lalu.
Pada masa sama Dr Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun menawarkan BERSATU sebagai alternatif kepada Umno.
"Kalau nak selamatkan Melayu, sokong parti Pribumi (BERSATU)," katanya lagi.
Sepanjang ucapannya selama kira-kira 40 minit itu, Dr Mahathir mengulangi kritikan kerasnya terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Perkataan seperti "pencuri", "penyanggak" dan "perompak" diucapkan beliau untuk merujuk kepada Najib dan sesekali hadirin bersorak mendengarnya.
Pada suatu ketika ada hadirin yang menjeritkan ungkapan "Tangkap dia!" selepas Dr Mahathir membuat kecaman kepada Najib.
Bagaimanapun Dr Mahathir membalas: "Macam mana kita nak tangkap dia? IGP (ketua polis negara) tak mau, peguam negara akan cakap dia tak buat salah apa-apa..."
Beliau juga memberi jaminan pakatan pembangkang - melibatkan DAP, PKR, Parti Amanah Negara dan BERSATU mempunyai rancangan konkrit untuk menyelamatkan Malaysia.