Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mufti Wilayah: Haram sambut Hari Valentine
Diterbitkan:  Feb 14, 2017 5:10 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri mengingatkan umat Islam bahawa meraikan Hari Valentine adalah dilarang sama sekali.

Zulkifli berkata ini kerana sambutan itu budaya masyarakat bukan Islam.

Oleh itu, umat Islam khususnya golongan muda disaran agar tidak menyambut Hari Valentine yang menjadi trend pada 14 Februari setiap tahun.

Bagaimanapun, tegas Zulkifli, Islam sama sekali tidak melarang penzahiran kasih sayang namun jalan terbaik melalui perkahwinan.

“Kami cenderung menyatakan bahawa sambutan Hari Valentine adalah diharamkan dalam Islam berdasarkan data-data yang jelas menunjukkan ianya membawa kepada budaya maksiat dan penzinaan di samping menyerupai budaya yang buruk, luar daripada ajaran Islam.

“Bahkan, hubungan luar nikah yang menjadi fokus utama bagi anak muda, tatkala Hari Valentine turut ditegah oleh agama-agama lain yang wujud di Malaysia," kata Zulkifli.

Beliau memuatkan penjelasan itu dalam siri penjelasan isu semasa atau “bayan linnas” di laman web rasminya.

Zulkifli juga memetik keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada 22 November 2005 berkaitan hukum orang Islam menyambut perayaan itu.

Ketika itu, katanya, muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.

“Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam,” katanya.

Larangan di Indonesia, Pakistan

Sementara itu Reuters melaporkan pihak berkuasa di beberapa wilayah di Indonesia merampas kondom dan mengharamkan umat Islam negara itu menyambut Hari Valentine.

Menurut laporan itu sambutan itu hanya menggalakkan perhubungan seks dan bertentangan dengan norma-norma budaya.

"Serbuan ini dilakukan selepas kami menerima laporan daripada penduduk bahawa pasar raya ini menjual kondom secara tak terkawal terutamanya pada Hari Valentine," kata seorang pegawai polis Makassar, Jufri (satu nama).

Mahkamah Tinggi Islamabad pula mengharamkan sambutan itu dengan alasan sama, setelah terdapat petisyen difailkan atas alasan mengelak perbuatan tidak bermoral.

Parti-parti Islam negara itu kemudian mendesak pihak media berhenti mempromosikan Hari Valentine.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS