Tidak sampai 72 jam selepas menyertai DAP, kenyataan Datuk Zaid Ibrahim telah mencetuskan kocakan dalam parti itu.
Dalam satu kenyataan media hari ini, ahli parlimen DAP Gobind Singh Deo menafikan kenyataan bekas menteri undang-undang itu bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad sekarang adalah pemimpin de facto pembangkang.
Zaid bercakap kepada Malay Mail Online berkata terdapat "persetujuan senyap" di kalangan pakatan pembangkang mengenai perkara ini.
“Kita sudah ada pemimpin. Ia cuma tidak diperkatakan dan diisytihar. Tetapi Mahathir pemimpin umumnya dan saya gembira," beliau dipetik sebagai berkata.
Zaid juga berkata Mahathir, yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), adalah satu-satunya tokoh berkaliber untuk menyatukan pembangkang dalam ketiadaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Gobind menafikan "persetujuan senyap" itu.
"Tidak ada perkara seperti itu yang pernah dibincangkan atau dipersetujui oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP.
"Saya merasa pelik bila Zaid memilih untuk membuat apa-apa pengumuman sebagai ahli DAP tanpa terlebih dahulu berunding dengan kepimpinan parti. Beliau sepatutnya lebih tahu.
"Ia adalah CEC yang memutuskan bagi pihak DAP dan tidak pernah ada apa-apa keputusan dibuat," tambah ahli parlimen Puchong itu.